Atasi isu tatakelola, bawa ombudsman dalam sidang Parlimen depan - Juanda

Iklan
Juanda (empat dari kanan) ketika menerima kunjung hormat Rasuah Busters dan rakan gabungan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin (empat dari kiri) di Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak.

SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk melihat keperluan pelaksanaan ombudsman di Semenanjung bagi membendung masalah ketirisan dalam pentadbiran.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perkara itu perlu dibincangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masalah tatakelola pentadbiran kini sukar untuk dibaiki ekoran perbuatan rasuah yang semakin membarah dalam masyarakat.

"Kalau betul-betul nak (mahu laksana), Akta Ombudsman itu perlu dijadikan sebagai perkara pertama (dibincangkan) pada sidang Parlimen akan datang.

Iklan

"Selagi ia (ombudsman) tidak dibawa (tidak dibincangkan di Parlimen), ia tidak akan selesai. Jika buat perbincangan dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang ia tidak akan habis.

"Draf itu sudah dibuat pada 1972 tetapi sehingga kini tiada lagi. Ini berlaku sebab tiada keinginan politik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak pada Jumaat.

Iklan

Tambah Juanda, hal berkenaan ombudsman itu hanya boleh dilaksanakan jika terdapat keinginan politik.

Pada masa sama, beliau turut menggesa mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan untuk membangkitkan isu tersebut agar ia dibincangkan semula.

Menurutnya, ombudsman akan memberi impak yang besar jika ia berjaya dilaksanakan.

"Kita memerlukan satu kuasa yang berbeza untuk memastikan sistem itu bergerak seperti yang sepatutnya. Agensi-agensi yang bergerak juga ada saluran untuk melaporkan jika ada campur tangan terhadap perkara mereka lakukan.

"Di sini kita dapat lihat bahawa ombudsman itu sebenarnya penting,” ujarnya.