'Naik bot boleh tapi jangan rakam'

Iklan
Tinjauan Sinar Harian selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu bermula jam 5 petang hingga 7.30 malam mendapati pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok berhampiran Pekan Rantau Panjang sentiasa dipenuhi orang ramai walaupun tular khabar angin di media sosial mengatakan 'pangkalan ditutup'.

RANTAU PANJANG - 'Naik bot boleh, tapi jangan rakam' demikian pesanan para jurumudi bot yang mengambil penumpang di kawasan pangkalan haram di Sungai Golok, di sini.

Larangan itu dibuat selepas lokasi terbabit menjadi 'panas' susulan kes tangkapan enam rakyat Malaysia di Thailand termasuk penyanyi lagu-lagu daerah wanita tersohor di sini.

Iklan
Iklan

Terdahulu, media melaporkan ramai anak muda ke sana melalui pangkalan haram untuk berhibur, menyebabkan pangkalan haram di sini mulai menjadi perhatian ramai.

Tinjauan Sinar Harian selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu bermula jam 5 petang hingga 7.30 malam mendapati pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok berhampiran Pekan Rantau Panjang sentiasa dipenuhi orang ramai walaupun tular khabar angin di media sosial mengatakan 'pangkalan ditutup'.

Iklan

Rata-rata rakyat Malaysia menggunakan kemudahan bot yang ada di pangkalan haram untuk ke Golok, Thailand kerana hanya mengambil masa kurang dua minit itu disebabkan aliran air sungai yang sedikit deras susulan hujan.

Salah satu kawasan pakir yang terdapat di tepi Sungai Golok dipenuhi kereta orang ramai dipercayai untuk ke negara jiran melalui pangkalan haram.

Kadar bayaran bot pula hanya sekitar RM3 sehala ataupun secara pukal bergantung kepada jumlah penumpang.

Iklan

Orang ramai menggunakan kemudahan tersebut kerana ia cepat dan murah malah aktiviti ke pasar malam di Golok pada petang Jumaat dan Sabtu antara sebab utama ramai rakyat di negeri ini serta luar Kelantan memenuhi pangkalan haram.

Menurut seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Mat, 29, berkata, dia dan rakan-rakan ke sana hanya sekadar untuk berkaraoke dan makan-makan sahaja.

"Memang diakui di sana banyak pilihan tempat berhibur, serta mudah dimasuki. Namun itu semuan bergantung kepada individu.

"Ada sahaja dalam kalangan rakan-rakan kami yang memilih ke disko," katanya.

Orang ramai memilih pangkalan haram berbanding ICQS kerana dakwa mereka lebih mudah dan cepat walaupun berisiko.

Bagi peniaga, Salmah, 50, pula memberitahu, setiap Khamis atau Jumaat dia akan ke Golok untuk membeli barangan jualan untuk gerai makanannya.

Menurutnya, walaupun mata wang Thailand lebih tinggi, namun harga barangan di sana murah selain perjalanan ke sana juga lebih cepat dan mudah dengan menaiki bot melalui pangkalan haram.

"Ini antara rutin saya, Alhamdulillah setakat ini tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Saya ke sana hanya untuk membeli barangan keperluan gerai, makan-makan dan pulang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok bagi membendung masalah penyeludupan serta aktiviti menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram.

Menurut beliau, pembinaan tembok dari Jeli sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat itu melibatkan jarak 100 kilometer (km).

"Ketua Polis Kelantan ada memberi cadangan pada kita (kerajaan negeri) tentang pembinaan tembok untuk elak penyeludupan, aktiviti seberang sungai, pil yaba.

"Saya kata betul, memang itu yang kita hendak. Insya-ALLAH kita akan ambil cadangan itu dan angkat kepada Kerajaan Persekutuan," katanya ketika sidang akhbar pada Selasa.