Lelaki maut motosikal langgar jentera penurap jalan selepas elak anjing

Iklan
Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar jentera penurap jalan dalam kejadian di Jalan Sembrong, Kluang pada pagi Ahad. Foto IPD Kluang

KLUANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar jentera penurap jalan dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Low Kim Teck di Jalan Sembrong di sini pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 6 pagi itu membabitkan mangsa berusia 23 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal bersama rakannya datang dari arah Taman Sri Tengah ke Jalan Batu Pahat-Mersing.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan selepas dipercayai mengelak seekor anjing yang melintas jalan.

Iklan

"Akibat kejadian itu, mangsa telah melanggar jentera menurap jalan yang diletakkan di tepi jalan. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal di lokasi kemalangan.

"Pembonceng motosikal hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Nik Mohd Azmi berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987," katanya.