Penyelia kewangan lakukan gangguan seksual terhadap pelajar praktikal ditahan

Iklan
Seorang penyelia kewangan sebuah syarikat ditahan polis kerana dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap pelajar praktikal pada Sabtu. Foto hiasan

TAWAU - Tindakan seorang penyelia kewangan sebuah syarikat melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar praktikal membawa padah apabila ditahan polis sekitar Bandar Tawau pada Sabtu.

Suspek lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.10 tengah hari oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan yang dibuat seorang pelajar berusia 23 tahun yang menjalani latihan industri di sebuah syarikat perladangan di daerah ini.

Menurutnya, kejadian tersebut didakwa telah berlaku di sekitar pejabat syarikat berkenaan, di mana mangsa mendakwa telah berulang kali menjadi sasaran gangguan seksual daripada suspek.

Iklan

"Mangsa telah ditanya oleh suspek beberapa soalan dengan menggunakan perkataan lucah sehingga menyebabkannya mangsa tidak berasa selesa.

"Suspek juga merendah-rendahkan mangsa memandangkan mangsa dijaga oleh datuk dan neneknya serta suspek juga membandingkan mangsa dengan pelajar praktikal sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Jasmin berkata, suspek yang ditahan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis memandang serius dalam menangani kes gangguan seksual di tempat kerja dan akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan adil," katanya.