Straits Mobile setuju kurangkan pegangan saham U Mobile kepada 20 peratus

Iklan
Tangkap layar kenyataan U Mobile pada Ahad.

STRAITS Mobile Investment Pte Ltd yang dimiliki sepenuhnya oleh firma Singapura, ST Telemedia bersetuju dengan penyelarasan strategik pemilikan pegangan sahamnya dalam U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dikurangkan kepada 20 peratus untuk meningkatkan peratusan pemilikan tempatan.

U Mobile dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersedia menerajui rangkaian 5G kedua seiring dengan keutamaan negara melalui pengukuhan penglibatan dan penyertaan syarikat tempatan dalam infrastruktur telekomunikasi yang kritikal.

Iklan
Iklan

"Walaupun pemilikan syarikat asing dalam sektor telekomunikasi merupakan perkara biasa, namun strategi U Mobile mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan pemilikan oleh entiti tempatan.

"Peningkatan pemilikan tempatan ini menyokong dedikasi U Mobile kepada kepentingan negara," katanya pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini dilaporkan, U Mobile dipilih sebagai penyedia 5G rangkaian kedua negara yang dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan serta kepuasan pelanggan dan prestasi syarikat.

Bagaimanapun, perkara tersebut telah menimbulkan polemik berikutan pegangan saham asing dalam syarikat telekomunikasi tersebut ialah 49 peratus.

Iklan

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

Mengulas lanjut, U Mobile berkata, pihaknya yakin akan dapat melancarkan 5G yang pantas dan cekap kos untuk Malaysia dengan rekod prestasi melebihi 17 tahun dalam inovasi, pertumbuhan serta pengembangan rangkaian.

Menurutnya, sebagai syarikat telekomunikasi yang paling baharu dan pencabar pasaran kepada industri, jumlah pengguna U Mobile berjaya mencapai sembilan juta pelanggan pada penghujung 2023.

"Dengan lebih RM5 bilion dilaburkan dalam infrastruktur rangkaian, U Mobile kini mempunyai lebih 10,000 tapak rangkaian dan liputan penduduk negara mencapai 95 peratus, setanding dengan rakan industri yang lain.

"U Mobile disokong oleh tenaga kerja yang terdiri daripada lebih 1,000 rakyat Malaysia," katanya lagi.

Tambah U Mobile, model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) diperkenalkan pada 2021 di mana Digital Nasional Berhad (DNB), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, dinamakan sebagai pengendali tunggal yang bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong kepada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

Ujarnya, dengan mewujudkan rangkaian kedua, Malaysia beralih daripada model bersifat monopoli kepada landskap kompetitif yang menyeluruh.

"Selama ini, persaingan dalam industri telekomunikasi telah membawa kepada perkhidmatan yang lebih baik dan murah kepada pengguna. Persaingan juga memaksa syarikat telekomunikasi untuk berinovasi dalam produk dan keupayaan.

"Sebagai syarikat baharu dalam industri dan pencabar pasaran kepada pengendali utama yang lain, U Mobile merupakan pelopor produk dan perkhidmatan mampu milik dalam industri, dengan menawarkan produk serta perkhidmatan yang mempunyai spesifikasi yang sama atau lebih baik, tetapi pada pengurangan harga sebanyak 20 hingga 25 peratus di bawah standard pesaing.

"Ini merupakan pendekatan yang masih dilaksanakan oleh U Mobile sehingga hari ini dan hasilnya, rakyat Malaysia dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik dan inovatif pada harga yang lebih berpatutan," jelasnya.