Tingkat pendedahan salah laku penjawat awam

Iklan
Ahmad Faizal. Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Kerajaan disaran meningkatkan pendedahan mengenai bentuk salah laku rasuah dan pelanggaran integriti seperti tuntutan palsu serta penggubahan wang haram dalam kalangan penjawat awam.

Presiden Persatuan Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Ahmad Faizal Sulaiman berkata, cadangan itu bertujuan memastikan pimpinan atau pengurusan institusi awam lebih serius dan memahami dengan jelas kesan kesalahan tersebut kepada reputasi pentadbiran kerajaan.

Iklan
Iklan

"Bukan sahaja kesan negatif, tetapi juga (mendedahkan) apa sebenarnya kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh penjawat awam.

"Kita perlu lebih serius dalam mengawal daripada berlakunya isu seperti ini. Kadang-kala dengan kuasa yang ada, mereka (penjawat awam) salah guna,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Sabtu berkata, penjawat awam yang ditahan badan penguatkuasaan tersebut kerana terlibat dalam rasuah mencecah hampir 50 peratus menunjukkan negara masih bergelut untuk membanteras gejala berkenaan.

Menurutnya, statistik direkodkan setakat Oktober lalu melibatkan penjawat awam sebanyak 43.4 peratus atau 546 pegawai kerajaan yang ditangkap dan selebihnya melibatkan orang awam.

Iklan

Beliau berkata, pendedahan itu menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat terhadap sistem pentadbiran awam dan akhirnya melibatkan kepimpinan dalam institusi berkenaan.

Tambahnya, penganjuran kempen kesedaran berhubung bahaya rasuah juga antara usaha berkesan dalam memberi pendedahan kepada masyarakat.

"Felda juga selalu bekerjasama dengan pihak SPRM dalam penganjuran program tersebut.

"Cuma mungkin perlu lebih didedahkan kepada semua peringkat penjawat awam, bukan dalam kalangan pengurusan tinggi semata-mata,” ujarnya.