Pempengaruh cemerlang terima Anugerah Pelajaran Diraja UUM

Iklan
Emina antara penerima Anugerah Pelajaran Diraja UUM.

SINTOK - Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Utara Malaysia (UUM), Emina Kulasic Bong Ei Min yang juga merupakan pempengaruh media sosial menasihatkan golongan muda supaya memberikan keutamaan kepada pendidikan demi jaminan masa depan.

Menurut Emina yang merupakan graduan dalam bidang Pengurusan dan Hal Ehwal Antarabangsa, keutamaannya tetap kepada pendidikan dan kerjaya pempengaruh hanyalah sebagai alternatif.

Iklan
Iklan

"Nasihat saya, jangan jadikan impian untuk menjadi 'influencer' sebagai matlamat utama. Saya sendiri tidak pernah sasarkan hal ini.

"Satu hari, saya bangun dan lihat ramai yang mula ikut saya di TikTok. Jadi, saya sarankan semua untuk ada pelan A dan pelan B.

Iklan

"Pendidikan seharusnya menjadi tumpuan utama. Melalui pendidikan, kita boleh mencapai lebih banyak, menginspirasi orang lain dan berkongsi ilmu. Itu langkah pertama yang paling penting,” katanya semasa ditemui selepas Majlis Konvokesyen UUM ke-37 pada Ahad.

Dari kanan, Emina, Muhammad Shuib dan Nur Eina ditemui selepas Majlis Konvokesyen UUM ke-37 pada Ahad.

Anak tunggal yang berasal dari Sarikei, Sarawak dan dibesarkan oleh makciknya itu berkata, penglibatannya di dalam media sosial adalah kerja sampingan untuk memberi inspirasi kepada generasi muda tentang pentingnya pendidikan formal.

Iklan

"Apabila kita berusaha untuk memperbaiki diri melalui pendidikan tinggi, orang lain juga akan terdorong untuk melakukan hal yang sama.

"Bila masyarakat terdorong untuk mengejar pendidikan dan perkembangan diri, mereka akan ikut teladan yang baik,” katanya yang kini mempunyai 59,200 pengikut di TikTok.

Berkongsi mengenai pembahagian masanya yang turut aktif sebagai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Elmina berkata, pemilihan bidang yang diminati adalah cara terbaik untuk berjaya selain mendapat kerjasama baik daripada pensyarah dan juga rakan kuliahnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja UUM, Muhammad Shuib Rosli, 23, menyifatkan pengurusan masa penting terutamanya semasa mengikuti kelas dalam talian ketika pandemik Covid-19.

Graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan Dengan Kepujian itu merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat pascasiswazah dan kini bekerja sebagai penterjemah buku bebas sementara menunggu tawaran kerjaya yang stabil.

"Selepas ini saya bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD jika ada tawaran biasiswa," katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Bagi Pingat Emas Canselor pula dikurniakan kepada graduan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Dengan Kepujian, Nur Eina Athirah Norazman, 23.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja menerima wang tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima RM 4,000 berserta sijil.

Sultan Kedah Al Aminul Karim, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mencemar duli untuk merasmikan sesi pertama daripada lima hari konvokesyen.

Seramai 6,742 graduan dari kelas 2024 akan menerima ijazah mereka.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, daripada jumlah keseluruhan tersebut, 5,539 adalah graduan ijazah sarjana muda dan 1,126 graduan pascasiswazah.

Daripada 5,539 graduan ijazah sarjana muda itu, seramai 1,681 mendapat keputusan kelas pertama, dengan 84 graduan menerima anugerah kecemerlangan akademik dan pingat.