Rasuah kebobrokan utama hantui, membarah dalam negara - Adam Adli

Iklan
Adam Adli (Laporan Sinar Harian)

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) berpendirian kebobrokan utama yang menghantui dan membarah dalam negara adalah berpunca daripada kegiatan rasuah.

Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abd Halim berkata, jenayah yang dilakukan dalam pelbagai bentuk dan ruang itu telah sekian lama mengkhianati hak rakyat yang sepatutnya dibela.

Iklan
Iklan

"AMK memandang berat dan ingin menyorot perhatian semua terhadap laporan terbaru berkaitan dakwaan amalan rasuah yang melibatkan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

"Kami kekal tegas bahawa dalam usaha membina dan membangunkan semula negara mengikut cita-cita dan kerangka Malaysia Madani, tiada amalan rasuah yang boleh dilindungi kerana ia akan terus menggagalkan sebarang usaha kerajaan dalam membangunkan negara serta rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Adam Adli memaklumkan, pihaknya meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, ia termasuk menyiasat dan memulakan pendakwaan berkaitan perkembangan yang dilaporkan itu dengan seadilnya tanpa mengira pihak terlibat.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, terdapat kira-kira lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka.

Ia dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

Beliau memaklumkan, tiada sebarang aduan rasmi termasuk daripada peguam kepada pemberi maklumat yang ada bertemu pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu.