Pengawasan sempadan guna teknologi, inovasi secara berfasa

Iklan
Saifuddin (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian Baitul Mahabbah Darul Aman di Jalan Kuala Kedah pada Ahad.

KUALA KEDAH - Kerajaan sedang menaik taraf kaedah pengawasan sempadan negara dengan mengaplikasikan aspek teknologi dan inovasi dalam meningkatkan kawalan sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek perintis tersebut dilakukan secara berfasa melibatkan negeri di utara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara yang dilakukan termasuk pengawasan lebih sistematik menggunakan siber optik dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

"Di kawasan sempadan Padang Besar, kita sedang melakukan proof of concept (POC) ini termasuk dalam masa terdekat menggunakan dron.

Iklan

"Ini adalah kaedah inovasi yang kita laksanakan untuk tujuan pengawalan sempadan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Baitul Mahabbah Darul Aman di Jalan Kuala Kedah, pada Ahad.

Saifuddin berkata, kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam menjaga isu keselamatan sempadan dan perkara itu sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

"Pembinaan pagar atau tembok merupakan satu cara kawalan sempadan tetapi penggunaan pelbagai teknologi juga antara cara yang kita pelopori.

"Buat masa ini kita sedang menjalankan POC di kawasan sempadan sepanjang 40 kilometer di Padang Besar, selepas selesai fasa ini, kita teruskan pula dengan penggunaan dron,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berhubung pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok dari Jeli hingga Pengkalan Kubor sejauh 100 kilometer (km), Saifuddin berkata, ia belum dibincangkan secara terperinci.

"Ia masih di peringkat cadangan oleh kerajaan negeri Kelantan.

"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan memang bincang isu keselamatan sempadan dalam kertas-kertas perbincangan namun autoriti terakhir ialah MKN dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan menganggotainya, namun dari segi punca kuasa adalah MKN, perlu ikut saluran tersebut dahulu,” jelasnya.

Pada 5 November, Mohamed Fadzli menegaskan cadangan pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok adalah bagi membendung masalah penyeludupan serta aktiviti menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram.

Menurut beliau, cadangan itu relevan berikutan pihak keselamatan yang menjaga sepanjang Sungai Golok tidak mampu mengawal sepenuhnya disebabkan jarak dan bentuk muka bumi kawasan berkenaan.