Pelajar UPNM retak tulang rusuk, tulang belakang dipijak senior

Iklan
Mangsa yang merupakan pelajar tahun satu telah dipijak pelajar senior yang merupakan pelatih tahun tiga universiti berkenaan. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Belum reda isu berkaitan seorang pelajar ditekap dengan seterika sehingga melecur, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali lagi digemparkan dengan kejadian pelajar universiti berkenaan parah akibat dipijak pelajar senior pada 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan berkaitan diterima pihaknya kira-kira jam 8.40 malam pada 8 November lalu.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa yang merupakan pelajar tahun satu telah dipijak pelajar senior yang merupakan pelatih tahun tiga universiti berkenaan.

"Kejadian mengakibatkan mangsa berumur 18 tahun itu mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambah beliau, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di tepi padang kawad universiti berkenaan setelah namanya selesai dipanggil.

"Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur berhubung kecederaan yang dialami.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

"Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan," katanya.

Sebelum ini, UPNM juga turut digemparkan dengan kejadian membabitkan seorang pelajar telah ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Polis pada 2 November kemudiannya mengesahkan mangsa diperlakukan demikian ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.