[VIDEO] PRN Sabah: Kerjasama PKR tidak diputuskan selagi DUN belum bubar

Iklan

KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menegaskan selagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dibubarkan maka kerjasama dengan mana-mana parti belum dimuktamadkan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud bagaimanapun mengulangi pendirian parti bahawa mereka secara prinsipnya bersetuju untuk mengadakan ruang perbincangan berdasarkan komponen parti masing-masing susulan pertemuan secara tidak rasmi dengan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Iklan
Iklan
Mustapha (tiga dari kiri) dalam sidang akhbar khas Biro Politik PKR Sabah di SICC, Kota Kinabalu.

"Ada ruang komunikasi dengan parti lain, itu biasa, dengan parti-parti lain pun kami berbuat demikian. Maknanya, kita tidak menutup pintu kerjasama dengan mana-mana pihak.

"Jadi ada yang datang 'kopi-kopi' (bertemu) dengan kita secara tidak rasmi, kita layan juga. Tetapi itulah, selagi belum bubar, selagi itulah kita tidak dapat putuskan siapa akan bekerjasama dengan kita.

Iklan

"Sebab semua itu nanti bergantung dengan proses-proses rundingan," katanya dalam sidang akhbar khas Biro Politik PKR Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut menjelaskan pertemuan itu hanya dilakukan secara tidak rasmi dengan pihak BN.

Iklan

"Saya telah beri taklimat kepada Biro Politik bahawa mesyuarat tersebut adalah mesyuarat tidak rasmi, hanya perbincangan untuk masing-masing meluahkan pandangan masing-masing bagaimana kita menghadapi politik negeri Sabah untuk persediaan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

"Bagi kami dalam PKR kami mahu supaya untuk menghadapi PRN ini kita kena mengambil kira sentimen lokal, itu penting walaupun mungkin Pakatan Harapan (PH)-BN di peringkat Semenanjung terutamanya agak baik tetapi dalam konteks Sabah.

"Mahu tidak mahu kita kena pastikan sentimen lokal itu penting, kita kena ambil kira sentimen rakyat Sabah yang mahu supaya hak mereka diperjuangkan," katanya.

Sehubungan itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, soal kerjasama antara parti akan dibawa ke peringkat mesyuarat PH untuk diputuskan bersama.

"Perbincangan antara PKR akan diputuskan bersama PH menerusi peringkat mesyuarat yang akan diadakan nanti.

"Mesyuarat akan dipengerusikan Datuk Seri Christina Liew, jadi keputusan akhir nanti PH akan buat kenyataan bersama bagaimana kita menghadapi PRN17 nanti dari sudut kerjasama antara parti," katanya.