Les Chanteurs raih emas, perak di koir antarabangsa

Iklan
Les Chanteurs Senior dipimpin konduktor Azahar Abdullah. Foto FB MCE

PASUKAN koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), terdiri daripada kumpulan Les Chanteurs Senior dan Junior, mencipta kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila masing-masing membawa pulang pingat emas dan perak Malaysian Choral Eisteddfod (MCE).

Dalam pengumuman keputusan hari ini, Les Chanteurs Senior yang dianggotai murid berusia 10 hingga 12 tahun, berjaya meraih emas bagi kategori A1 Young Children dengan markah 85.60 mata.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Les Chanteurs Junior yang diwakili murid berusia tujuh hingga sembilan tahun, melakar sejarah memenangi pingat perak dengan 76.73 mata.

Les Chanteurs Senior yang dipimpin konduktor Azahar Abdullah berjaya memukau juri dengan lantunan dua lagu, iaitu Hanya di Mercu nyanyian Ayu Damit dan Dance oleh Robert T Gibson.

Iklan

Les Chanteurs Junior pula dipimpin oleh konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin, menyaksikan si cilik mendendangkan dua buah lagu, Jangan Menyerah nyanyian band Indonesia D’Masiv dan Eneza Upendo oleh Jim Papoulis.

Les Chanteurs ditubuhkan pada 2023 dengan 23 orang murid yang dibimbing oleh seorang guru, Adlia Syazana Abas.

Iklan

Pasukan bermula dengan rentak cemerlang tahun lalu apabila muncul juara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2023, sebelum menerima anugerah lima kumpulan terbaik peringkat kebangsaan di Festival Gala Kesenian Malaysia pada September 2023 dan naib juara peringkat kebangsaan di Karnival Bahasa dan Kesenian pada November 2023.

Les Chanteurs Junior dipimpin oleh konduktor Rabi’atul Raba’ah. Foto FB MCE

Susulan kejayaan cemerlang Les Chanteurs tahun lalu, pasukan menyasarkan gelaran peringkat antarabangsa dan mula melatih pelapis menerusi penubuhan Les Chanteurs Juniors.

Seorang ahli Les Chanteurs Senior, Zoe Zef, 11, berkata, pada awalnya dia menyertai Les Chanteurs kerana minat dalam nyanyian.

"Saya antara barisan awal ahli pasukan pada 2023, dan berkat usaha kami berjaya ke peringkat antarabangsa. Lebih manis lagi, adik saya Zia yang berusia lapan tahun, menyertai pasukan junior dan kami meraih kemenangan ini bersama,” katanya yang melihat penubuhan pasukan koir itu sebagai pendekatan sesuai dalam membina jati diri mereka.

Pertandingan koir antarabangsa MCE yang berlangsung selama lima hari bermula 6 November lalu, menyaksikan lebih 160 pasukan koir dengan lebih 5,000 peserta bertanding dan antara negara yang berentap ialah Indonesia, Filipina, Taiwan dan Singapura.

Pusingan pertandingan diadakan serentak di tiga venue di Kuala Lumpur, iaitu Dewan Filharmonik Petronas; The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) dan Menara KEN Taman Tun Dr Ismail. Bernama