BINTANG Barcelona, Lionel Messi akan meraih lebih banyak kejayaan sekiranya meninggalkan La Liga dan memilih Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pentas mengembangkan kerjayanya pada masa depan.
Legenda Brazil, Ricardo Kaka berkata, dia percaya bintang Argentina tidak berdepan masalah menyesuaikan diri di EPL atau tiga liga teratas Eropah dengan status Messi sebagai pemain kelas dunia.
Bagaimanapun kata Kaka, tonggak Barcelona itu perlu mempunyai matlamat jangka panjang sebelum memilih berhijrah dari La Liga ke liga lain yang lebih kompetitif.
"Cumanya sebenarnya agak sukar untuk dia pergi meninggalkan saingan La Liga yang sudah sebati dalam dirinya selama ini.
"Tapi sekiranya dalam jiwanya sudah bertekad mahu mencari pengalaman baharu dan mahu menjadi pemain terbaik dunia bersama kelab baharu, saya percaya dia tidak berdepan masalah," katanya.
Messi dikhabarkan akan meninggalkan Camp Nou selepas bertelagah dengan Pengarah Sukan Barcelona, Eric Abidal baru-baru ini.
Perkhabaran itu menjadikan Manchester City antara destinasi pilihan pemain Argentina berkenaan seandainya dia mengambil keputusan meninggalkan La Liga.
Kontrak Messi bersama Blaugrana terdapat satu klausa membenarkan La Pulga meninggalkan kelab penghujung musim ini sekiranya pemain itu menyatakan hasratnya kepada pengurusan tertinggi Barcelona pada Mei.
Sementara itu, kata Kaka perkara yang paling penting sekarang adalah bagaimana cara para pemain Barcelona menyesuaikan tanpa kelibat Messi.
"Ketika (Cristiano) Ronaldo meninggalkan Real Madrid, kami turut terpalit dengan kesedihan dan saya akui kami terkesan dengan pemergian Ronaldo.
"Bagaimanapun kami harus akur bahawa akan tiba masanya seseorang pemain itu mencari cabaran dan pengalaman baharu.
"Pada ketika itu kami yang masih ada di Real Madrid perlu kembali fokus bergerak ke depan," katanya.