SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor baharu menggantikan penyandang, Gobind Singh Deo.
Sze Han memperoleh 1,058 undi dan berada di kedudukan ketiga dalam kelompok 15 teratas meraih paling banyak undi dalam pemilihan DAP Selangor bagi penggal 2024-2027.
Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Naib Pengerusi DAP Selangor pula dipilih sebagai Timbalan Pengerusi DAP negeri.
Ganabatirau berada di kedudukan lima teratas dengan meraih undi sebanyak 1,020 undi manakala jawatan Naib Pengerusi masing-masing disandang Ng Suee Lim dan En Yong Hian Wah.
ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dilantik sebagai Bendahari DAP negeri dan penolongnya adalah R Rajiv.
Bagi jawatan Setiausaha Organisasi Negeri pula adalah Tiew Way Keng dan dua penolongnya masing-masing ADUN Banting, V Papparaidu dan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki.
Jawatan Pengarah Pendidikan Politik Negeri disandang Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ong Chun Wei serta ADUN Subang Jaya, Ng Mei Sze pula dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Negeri.