TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dinobatkan sebagai juara Kejohanan Badminton Korea Masters 2024 di Jeolla, Korea Selatan.
Ahmad Zahid menerusi satu hantaran di Facebook berkata, walaupun menghadapi persaingan sengit, namun pasangan beregu itu berjaya mempamerkan aksi luar biasa dan berjaya meraih kemenangan.
"Tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara Korea Masters 2024 selepas menundukkan wakil tuan rumah, Jin Yong-Kim Won-ho.
"Walaupun diberikan tentangan sengit, tetapi permata negara ini bangkit memberikan aksi luar biasa bagi menyekat kemaraan pemain Korea seterusnya merangkul kejuaraan #KoreaMasters2024. 'So proud of both of you'," katanya pada Ahad.
Kejayaan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila mereka yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan berstatus Super 300 itu ditentang sengit pasangan nombor 73 dunia, Jin Yong-Kim Won-ho yang mengheret permainan sehingga ke set penentuan.
Dalam aksi di Iksan Gymnasium, Iksan City tersebut, pasangan negara yang menghuni ranking keenam dunia tidak diberi laluan mudah oleh gandingan tuan rumah apabila tewas 21-23 pada set pertama.
Aaron-Wooi Yik kemudian mengubah momentum permainan dan ia ternyata menjadi apabila memenangi set kedua 21-19.
Menjengah aksi set penentuan, Jin Yong dan Won-ho terus menekan Aaron-Wooi Yik, namun pengalaman menjadi pemisah apabila juara dunia 2022 itu menoktahkan kemenangan 21-14 dalam tempoh 66 minit permainan.
Kejayaan tersebut membolehkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu meraih kemenangan pertama hasil pertemuan sulung mereka.
Kejuaraan berkenaan juga menceriakan Aaron-Wooi Yik membawa pulang AS$16,590 (RM72,701) dan mengutip 7,000 mata Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mereka yang dalam misi memburu tempat ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China bulan depan pasti lega dengan kejayaan tersebut dalam usaha membaiki kedudukan dari tempat ke-13 dengan 56,090 mata.
Menerusi tambahan 7,000 mata, mereka berpeluang melonjak ke tangga ke-10 dengan 63,090 mata menyamai mata pasangan Indonesia, Sabar Karyaman-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani di kedudukan ke sembilan.