SEBUT sahaja Cameron Highlands, pastinya kita terbayangkan sebuah destinasi pelancongan terkenal dengan suasana nyaman, sejuk, dan pemandangan alam yang memukau.
Sebagai sebuah bandar peranginan popular di Pahang, pasti ia memiliki aura tersendiri, dan mampu menarik perhatian pelancong, walaupun terkenal dengan kesesakan lalu lintas.
Namun, setiap kali ketika hujung minggu dan cuti sekolah kita pasti dapat mendengar rungutan daripada pengunjung yang terkandas berjam-jam di jalan raya di pusat peranginan terbabit dikongsi di pelbagai platform media sosial.
Baru-baru ini, kita membaca perkongsian daripada seorang pengguna TikTok, @Naura Sofea, berkongsi pengalaman terkandas selama 14 jam dari Kuala Lumpur.
Dalam video tersebut, wanita itu meluahkan rasa kecewa dan serik untuk berkunjung ke sana lagi.
"Teruk gila jammed di Cameron Highlands hari ini. Memanglah cuti, tapi sampai macam ini sekali teruknya,” katanya menerusi hantaran video tersebut.
Meskipun berdepan situasi yang sama, masih ramai yang mengunjungi Cameron Highlands dan ini menunjukkan mereka seolah-olah tidak kisah.
Berdasarkan data daripada Tourism Pahang, seramai 598,841 pelawat direkodkan dari Januari hingga Jun lalu dan ini menjadikan ia sebagai destinasi ketiga paling ramai dikunjungi di Pahang, selepas Genting Highlands dan Kuantan.
Malah, jumlah perbelanjaan pelancong di Cameron Highlands, adalah sebanyak RM538,058,639, menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding RM456,980,694 pada tahun 2023, bagi tempoh yang sama.
Melihat angka itu, penulis berpandangan, keunikan alam semula jadi, sejarah dan suasana sejuk menjadikan Cameron Highlands kekal sebagai destinasi percutian yang istimewa di Malaysia.
Penulis juga difahamkan kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku, khususnya di kawasan Kea Farm, Brinchang, sehingga menjadi cabaran kepada pengunjung.
Sungguhpun begitu, tidak bermakna kesulitan dihadapi pengunjung berhubung kesesakan lalu lintas tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri Pahang.
Sebaliknya, kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah strategik bagi mengurangkan kesesakan, selain menjaga keindahan serta ekosistem Cameron Highlands.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff baru-baru ini mengumumkan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kesesakan di Cameron Highlands.
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM122 juta bagi projek naik taraf di Bulatan McDonald's ke persimpangan Brinchang bagi pembinaan jalan alternatif.
"Projek naik taraf dinamakan 'time tunnel' dan membina 'jalan lingkar sehala di Kea Farm' itu sudah mencapai sembilan peratus kemajuan setakat ini yang dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
"Yang keduanya, dalam Fasa 2B, masih dalam peringkat reka bentuk. Kerajaan juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM480 juta untuk menaik taraf jalan persekutuan dan ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk,” katanya.
Selain itu, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) turut bersetuju untuk menyediakan tempat letak kereta itu di atas sebahagian tanah milik MDCH.
Penambahan tempat letak kereta ini mengandungi dua fasa iaitu fasa satu melibatkan 516 petak parkir yang dijangka siap dilaksanakan pada Februari 2025.
Fasa dua melibatkan 543 petak parkir tertakluk kepada keperluan dan permintaan.
Walaupun pelan masih dalam fasa pembinaan, penulis melihat komitmen jangka panjang yang dilakukan kerajaan Pahang dalam membangunkan sektor pelancongan di situ tanpa menjejaskan keselesaan pengunjung dan kelestarian alam sekitar.
Jika ia dilaksanakan dengan baik, penulis yakin usaha ini pasti akan mengekalkan daya tarikan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.
Selepas ini, Cameron Highlands akan semakin menyerlah sebagai destinasi percutian 'rasa luar negara' yang lengkap di Malaysia, tanpa perlu jauh dari tanah air.
* Norawazni Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Pahang