SEREMBAN - Siapa sangka dengan bermodalkan lumut yang dikutip di dalam hutan, seorang lelaki mampu meraih pendapatan mencecah puluhan ribu menerusi hasil jualan hiasan tanaman dalam balang kaca atau terrarium.
Meneroka potensi itu, Tan Chew Huat, 41, mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut lima tahun lalu ketika tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurutnya, pada awalnya ia sekadar hobi bagi mengisi masa lapang dan belajar mengenainya melalui YouTube.
"Sebenarnya saya suka aktiviti mengembara di dalam hutan untuk melihat keindahan panorama alam.
"Dari situ timbulnya idea untuk saya 'kecilkan' keindahan dalam hutan itu menerusi penghasilan tanaman dalam balang kaca ini supaya saya dapat tengoknya hari-hari," katanya ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, dia terfikir untuk menjualnya dan mengambil tempahan selepas melihat potensinya di luar negara.
Ujarnya, harga bagi satu terrarium boleh dijual antara RM100 sehingga puluhan ribu bergantung kepada saiz bekas atau balang kaca dan kreativiti gubahan yang dihasilkan.
"Kalau dekorasinya lagi rumit, semakin mahal harganya dan paling penting kita perlu memastikan lumut dan pokok hiasan digunakan hidup dengan baik.
"Ia samalah seperti sebuah rumah, kalau reka bentuknya unik dan menarik, harganya lebih mahal," katanya.
Jelasnya, tempahan terrarium paling mahal yang pernah diterimanya bernilai RM30,000 dengan saiz sebesar 2.13 meter.
Selain itu kata Chew Huat, kelebihan terrarium adalah penjagaan yang mudah dan hanya perlu disiram sebulan sekali.
Pada masa sama katanya, ia juga perlukan pencahayaan lampu antara lapan hingga 12 jam setiap hari.
"Seperti mana tumbuhan lain yang perlukan air dan cahaya, begitu jugalah dengan terrarium. Tapi cahaya matahari itu kita ganti dengan lampu.
"Cumanya bukan semua jenis lumut dan pokok yang boleh digunakan dalam terrarium. Sebab itu pengubah terrarium ini perlu tahu mana yang bersesuaian," katanya.
Baginya, mereka yang berkecimpung dalam bidang terrarium boleh diusahakan secara serius untuk menjana pendapatan.