KUALA LUMPUR - Status terkini Projek 1BestariNet dan perancangan pembangunan Pelabuhan Labuan antara tumpuan Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan berhubung Projek 1BestariNet dan tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap syarikat yang diberi tender tersebut diajukan oleh Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) kepada Menteri Pendidikan.
Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan) pula bertanya kepada Menteri Pengangkutan mengenai status menaik taraf Pelabuhan Merdeka Labuan yang kini usang dan dijangka tamat tempoh penggunaannya pada 2026, serta status terkini perancangan pembangunan Pelabuhan Bersepadu Labuan (Labuan Integrated Port).
Pada sesi yang sama, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah yang sedang diambil kementerian bagi menangani isu-isu yang dihadapi Malaysia Airlines (MAS), susulan banyak aduan mengenai prestasi perkhidmatan syarikat penerbangan itu kebelakangan ini.
Selain itu, Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengajukan soalan kepada Menteri Komunikasi dan Digital mengenai langkah kerajaan dalam memastikan kod etika dan perlindungan data privasi terkawal serta bebas ketirisan, sejajar dengan perkembangan pesat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar oleh menteri daripada setiap kementerian.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember depan. - Bernama