AMK gesa percepat pindaan Akta 711, tubuh Ombudsman Malaysia

Iklan
Arshad

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempercepatkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan penubuhan Ombudsman Malaysia.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Arshad Hassni berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang bersetuju mengenai pelaksanaan terbabit pada April lalu, namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua AMK Segambut itu, pihaknya percaya bahawa dengan memperkukuhkan perlindungan kepada pemberi maklumat menerusi akta terbabit, usaha membanteras rasuah menjadi lebih berkesan.

"AMK menzahirkan kebimbangan terhadap isu perlindungan pemberi maklumat yang masih belum memadai di Malaysia.

Iklan

"Baru-baru ini, seorang pemberi maklumat yang memiliki bukti video perbincangan rasuah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bimbang terhadap keselamatannya akibat pendedahan tersebut.

"Terdapat keperluan untuk mempercepatkan pindaan akta ini bagi memastikan ada perlindungan komprehensif dan Ombudsman Malaysia sebagai badan bebas yang menyiasat aduan salah laku serta menjamin keselamatan pemberi maklumat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan terdapat kira-kira lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya masih belum menerima aduan rasmi daripada mana-mana individu berhubung perkara itu.

Ujarnya, tiada sebarang aduan termasuk peguam kepada pemberi maklumat yang bertemu pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu.

Tegas beliau, pemberi maklumat terbabit perlu membuat laporan rasmi kepada SPRM bagi memulakan sebarang proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.