Sindiket edar dadah di Ipoh tumpas, tiga lelaki ditahan

Iklan
Zulkafli (dua dari kanan) menunjukkan kejayaan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Perak merampas hampir 20kg dadah daripada sindiket yang aktif sejak tiga bulan lalu di Ipoh.

IPOH - Sindiket pengedaran dadah yang didalangi tiga lelaki tumpas apabila polis berjaya merampas dadah bernilai RM200,400 dalam serbuan sebuah rumah di Jalan St John di sini, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pemeriksaan dilakukan di rumah berkenaan yang dijadikan stor penyimpanan dadah berpandu daripada suspek pertama berusia 41 tahun yang ditahan pada 30 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pasukan berjaya menemui 42 peket dadah disyaki heroin seberat 18.9 kilogram (kg) dan dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 0.96kg di rumah berkenaan.

Zulkafli (dua dari kanan) menunjukkan barang kemas yang berjaya dirampas daripada ahli sindiket pengedaran dadah.

"Susulan itu, polis berjaya menangkap suspek kedua berusia 33 tahun dipercayai ketua sindiket pada Jumaat di tepi Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan suspek ketiga berusia 45 tahun di sebuah rumah di Taman Mas di sini.

Iklan

"Siasatan mendapati sindiket ini mula aktif sejak Ogos lalu dengan suspek pertama menerima bayaran RM2,000 daripada ketuanya untuk menjaga rumah terbabit manakala suspek ketiga pula menerima komisen sebanyak RM200 setiap kali menjual dadah berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Zulkafli berkata, siasatan mendapati kumpulan itu aktif mengedar di Ipoh dan sekitar negeri ini yang mana dadah yang dirampas boleh digunakan kepada 26,221 penagih dadah.

Iklan

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamin manakala dua lagi suspek negatif.

"Tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kereta, sebuah motosikal serta barang kemas berupa gelang tangan, rantai dan loket bernilai RM105,680," katanya.

Tambah beliau, suspek direman bermula 31 Oktober sehingga Isnin manakala dua yang lain direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengesan rangkaian lain termasuk bekalan dadah sindiket ini," katanya.