SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan mana-mana Institusi Pendidikan Mara (IPMa) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) agar tidak menyembunyikan kes buli daripada pengetahuan umum.
Beliau berkata, sekiranya terdapat kes buli yang 'disorokkan', tindakan tegas bakal diambil termasuk menukar pengetua, pengarah MRSM atau IPMa tersebut.
"Jangan sesekali ada IPMa termasuk MRSM yang sorok kes buli.
"Jika saya dapat maklumat ada usaha sorok dan tutup kes berkaitan buli walau apa jua alasan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi telah arahkan ambil tindakan ke atas pengetua terbabit.
"Saya sudah tegaskan tiada kompromi terhadap pembuli tak kira anak pembesar atau orang kenamaan berpengaruh sekali pun jika didapati membuli, mereka tiada tempat di IPMa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Rabu lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.
Mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas yang menyedari terdapat kesan kecederaan pada tubuh badan.
ATM turut menyatakan, tindakan disiplin yang keras bakal dikenakan kepada pihak yang terlibat, jika terbukti bersalah.
Sebelum ini, UPNM juga digemparkan dengan kejadian membabitkan seorang pelajar ditekap menggunakan sterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Terbaharu, seorang pelajar tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.