Malaysia hargai usaha Arab Saudi anjur Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam

Iklan
Anwar bertemu Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh Putera Muhammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Arab Saudi atas kepimpinannya dalam menganjurkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam hari ini.

Anwar menerusi hantaran Facebook berkata, sidang kemuncak itu penting untuk menangani keganasan dan kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, selamat tiba di Riyadh atas jemputan Penjaga Dua Tanah Suci, kerajaan Arab Saudi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.

"Marilah kita bersatu dalam tekad untuk menentang kezaliman dan berdoa semoga usaha Malaysia untuk membawa keadilan dan keamanan kepada mereka yang ditindas dipermudah, insya-Allah," kata beliau dalam hantaran itu.

Iklan

Anwar tiba di Riyadh dari Kaherah, Mesir pada Isnin.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid disambut oleh Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh Putera Muhammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz dan Datuk Bandar Wilayah Riyadh Putera, Dr Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, serta kawalan kehormatan.

Iklan

Perdana Menteri dijadualkan kembali ke Kaherah untuk meneruskan siri libat urus yang telah dirancang lebih awal dengan delegasi Malaysia dan Mesir.

Dalam hantaran lain, Perdana Menteri berkata, sebelum berlepas ke Riyadh, beliau dan delegasi menghadiri sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan itu menumpukan kepada peluang pelaburan di Malaysia dan meneroka potensi usaha sama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di Malaysia.

"Beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga boleh baharu dibincangkan dalam sesi yang produktif ini," kata beliau.

Anwar berkata, perbincangan itu turut dihadiri Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Mesir Hassan El Khatib.

"Insya-ALLAH, berdasarkan dasar kerajaan Madani yang jelas serta angka dan penunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan, di samping pengiktirafan sebagai hab utama dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau di rantau Asia Tenggara, kita dapat memacu pertumbuhan ke peringkat global," kata beliau. - Bernama