Premier Sarawak bentang belanjawan negeri RM15.8 BILION untuk 2025

Iklan
Abang Johari membentangkan belanjawan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada Isnin. Foto Bernama

KUCHING - Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Isnin membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM15.8 bilion untuk tahun depan, pertambahan 16 peratus daripada RM13.6 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri pada 2024, katanya.

"Belanjawan 2025 akan terus menjadi belanjawan pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Iklan
Iklan

"Belanjawan ini memperbaharui dan mengesahkan komitmen kami untuk memperjuangkan kebajikan rakyat melalui langkah-langkah yang disasarkan bertujuan meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta meneruskan pelaksanaan program dan projek-projek penting rakyat,” katanya ketika membentangkan belanjawan berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Bertemakan 'Bersama Membina Masa Depan Yang Sejahtera”, kerajaan negeri memperuntukkan RM10.9 bilion untuk tujuan pembangunan dan RM4.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Iklan

Abang Johari berkata, Sarawak menjangkakan pungutan hasil sebanyak RM14.2 bilion pada tahun depan, dengan hasil cukai dan bukan cukai masing-masing berjumlah RM6.2 bilion dan RM7 bilion.

"Saya dengan sukacitanya memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa dengan unjuran hasil RM14.2 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa RM13.7 bilion, belanjawan negeri 2025 dijangka menjana lebihan sebanyak RM486 juta,” katanya.

Iklan

Abang Johari berkata, belanjawan berkenaan yang terbesar dalam sejarah negeri, akan terus menyediakan peruntukan kepada sektor-sektor utama untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan akhirnya menjadikan ekonomi negeri lebih makmur, kukuh dan berdaya tahan.

"Melalui belanjawan pengembangan ini, kami membuat pelaburan yang besar dalam infrastruktur sambil meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan kami,” tambahnya. - Bernama