Asyraf Wajdi terjah MRSM Langkawi

Iklan
Asyraf Wajdi (kanan) sedang memeriksa dulang makanan pelajar di dewan selera MRSM Langkawi pada Ahad.

ALOR SETAR - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membuat lawatan mengejut ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi pada Ahad bagi memeriksa tandas dan beberapa fasiliti di sekolah berkenaan.

Kehadiran beliau itu adalah maklum balas terhadap beberapa aduan ibu bapa di media sosial yang tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan kepada anak mereka.

Iklan
Iklan

Melalui perkongsian di laman Facebook dan TikTok miliknya, beliau berkata, antara aduan diterima termasuk kerosakan tandas yang berlarutan, masalah bekalan air yang meruncing, dulang makanan tidak dicuci sempurna dan lain-lain isu membabitkan kebajikan pelajar.

"Ternyata sebahagian aduan mereka ada kebenarannya. Berkali-kali saya pesan pada pihak pengurusan MRSM mahupun Institusi Pendidikan Mara lain agar beri keutamaan permohonan peruntukan untuk penyelenggaraan fasiliti asas yang membabitkan kebajikan pelajar dan guru termasuk tandas, peralatan belajar, asrama serta kelas.

Iklan

"Masalah air di Pulau Langkawi yang tiada berkesudahan juga menyebabkan pihak Majlis Mara dan pengurusan telah pun meluluskan peruntukan khas bagi memastikan bekalan air tidak putus seperti penambahan tong menyimpan air dan juga membiayai kos lori air Syarikat Air Darul Aman (Sada)," tulisnya dalam Facebook.

Asyraf wajdi berkata, kehadirannya itu juga tidak diketahui oleh pengetua dan ketika beliau tiba pengetua tidak berada di sekolah.

Iklan

"Call (hubungi) Pengetua beritahu saya sampai." Terpinga-pinga pengawal keselamatan tatkala saya tiba di pondok pengawal. Nasib baik dia tak tanya banyak seperti di MRSM lain sebab dia cam saya.

"Memang saya tak maklumkan langsung kehadiran saya kerana pagi tadi (Ahad) sengaja saya ambil flight (penerbangan) ke Langkawi untuk #TerjahMRSM Langkawi, sebelum naik bot ke Kuala Perlis mengadap DYMM Raja Perlis sebelah tengah hari,” tulisnya lagi.

Pada akhir perkongsian itu, Asyraf Wajdi berdoa dan yakin MRSM Langkawi kembali menjadi MRSM terbaik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang menerusi komitmen guru dan sikap positif pelajar.