Marah dikongkong punca bunuh ibu saudara

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Zulkafli

IPOH - Tidak berpuas hati dikongkong dipercayai menjadi motif utama seorang lelaki bertindak mengasari ibu saudaranya sebelum ditemukan mati dalam bilik di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh di sini, pada Ahad.

Lelaki berusia 21 tahun itu menumbuk mangsa berusia 54 tahun berkali-kali hingga jatuh tangga sebelum mengurung mangsa yang tidak sedarkan diri di dalam bilik selama empat hari.

Iklan
Iklan

Mayat mangsa kemudian dijumpai dalam keadaan hampir reput dan membusuk.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana rasa marah dikongkong oleh mangsa.

Iklan

"Suspek yang ditahan adalah anak saudara mangsa dan berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa hilang sabar kerana dikongkong oleh ibu saudaranya.

"Dia bertindak melepaskan geram dengan menumbuk mangsa berkali-kali sehingga mangsa terjatuh tangga sebelum bertindak mengurung mangsa yang tidak sedarkan diri dalam bilik," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, wanita itu ditemui selepas adiknya terhidu bau busuk dari arah bilik tersebut.

"Berikutan itu, suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sinar Harian melaporkan bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh.

Siasatan membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang merupakan anak saudara mangsa bagi membantu siasatan.