KPM teliti cadangan laksana peperiksaan tunggal untuk kemasukan ke IPTA

Iklan
Kah Woh

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan untuk melaksanakan peperiksaan kemasukan tunggal bagi pelajar lepasan matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke universiti awam.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, ia merupakan komitmen KPM bagi memastikan pelajar mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi.

Iklan
Iklan

"Cadangan mengenai sama ada KPM ada meneliti untuk menyatukan kedua-dua matrikulasi dan STPM, KPM mengambil perkara ini dengan pandangan dan sikap sangat serius.

"Dalam beberapa bulan lepas KPM sedang berusaha meneliti cadangan untuk mengadakan 'single entry exam' bagi lepasan matrikulasi dan STPM," katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai rancangan kerajaan untuk menyatukan matrikulasi dan STPM supaya berada dalam landasan sama.

Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping menjelaskan, ketika ini kementerian belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Iklan

Dalam pada itu beliau memaklumkan, KPM juga sedang meneliti cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam Premium melalui kerjasama silang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Kerjasama KPM dan KPT merupakan komitmen berterusan kementerian untuk memperkasa dan menjadikan Tingkatan Enam sebagai laluan pendidikan utama yang menjadi pilihan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian.

"KPM sentiasa meneliti dan menambah baik sistem sedia ada dari semasa ke semasa bagi menjamin kelestarian pendidikan Tingkatan Enam," ujarnya.

Sementara itu melalui Pelan Tingkatan Enam 2024 hingga 2030, beliau berkata, KPM menyasarkan sebanyak 67 kolej Tingkatan Enam dapat dibangunkan menjelang tahun 2030 selain menyasarkan 80 peratus pelajar Tingkatan Enam dapat menyambung pengajian ke universiti.

"Dalam sesi pengajian pada 2021 hingga 2022, peratusan murid Tingkatan Enam yang dapat menyambung pengajian ke universiti adalah 66.85 peratus dan 67.87 peratus pada 2022 hingga 2023," jelasnya.