Polis tahan lima sekawan, bongkar makmal proses dadah

Iklan
Dadah yang dirampas bernilai RM3 juta dalam tiga serbuan serentak pada 6 November lalu.

GEORGE TOWN - Lima sekawan yang bergiat aktif memproses dadah sejak pertengahan tahun ini ditahan apabila polis membuat tiga serbuan serentak di beberapa lokasi berasingan di sini pada jam 9.50 malam, 6 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kelima-lima lelaki warga tempatan berusia lingkungan 32 hingga 59 tahun itu ditahan bersama 25.1 kilogram (kg) bernilai RM3 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain memproses dadah yang diperolehi dari negara jiran, sindiket tersebut turut bergiat aktif dalam pengedaran dadah.

"Mereka ini mempunyai peranan masing-masing iaitu sebagai ahli kimia yang memasak serta memproses dadah, pembantu ahli kimia, koordinator serta pembantu koordinator untuk memasarkan dadah sekitar Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Iklan

"Mereka ini mengenali antara satu sama lain dalam jangka masa yang lama. Dadah yang mereka proses memang bermutu tinggi kerana mereka mahir dalam memproses dadah yang bekalannya diambil dari negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, pada Isnin.

Tambah beliau, hasil daripada risikan yang dibuat, polis menyerbu sebuah semi D satu tingkat di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah lalu menahan tiga suspek di situ.

Kok Chin (tiga dari kanan) melihat mesin yang digunakan untuk menghasilkan pil estasy yang dirampas dalam tiga serbuan serentak di sekitar Pulau Pinang.

Iklan

"Dalam serbuan pertama itu, kita menahan tiga lelaki berusia 53,54 dan 32 tahun di sebuah rumah yang disyaki dijadikan makmal haram untuk memproses dadah. Pemeriksaan lanjut menjumpai pelbagai jenis dadah disimpan di dalam bilik di rumah berkenaan.

"Antara dadah yang dirampas ialah pil serta serbuk ekstasi seberat 13.99 kilogram, syabu (6.03 kilogram), ketamin (4.99 kilogram) yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3 juta," katanya.

Kok Chin menambah, dalam serbuan kedua pula, polis menyerbu sebuah pangsapuri di kawasan Ayer Hitam di sini lalu menahan seorang suspek di situ.

"Lelaki berusia 59 tahun yang ditahan itu berperanan sebagai koordinator sindiket dalam memasarkan dadah kepada pelanggan selepas ia siap diproses di makmal haram tersebut.

"Serbuan ketiga dibuat di sebuah kedai di Jalan Yeoh Guan Seok di sini. Di situ, kita menahan seorang lagi suspek yang disyaki menjadi pembantu serta rakan sekutu kepada suspek keempat yang ditahan dalam serbuan kedua," katanya.

Jelasnya lagi, modus operandi sindiket itu adalah menjadikan rumah sewa sebagai makmal memproses dadah dan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

"Dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan iaitu di negeri ini dan Lembah Klang. Suspek yang berperanan sebagai ahli kimia memperoleh bayaran lumayan iaitu kira-kira RM10,000 sebulan.

"Koordinator pula menerima bayaran mengikut jumlah pil atau dadah yang dipasarkan.

"Kita difahamkan, sebiji pil ekstasi dijual dengan harga 50 sen sebiji, dan dalam satu peket ada kira-kira 2,000 biji. Oleh itu, koordinator akan mendapat bayaran RM1,000 bagi satu peket pil dadah yang dia jual," katanya.

Kok Chin (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan yang diadakan serentak pada 6 November lalu.

Jelasnya, siasatan mendapati, sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan satu sindiket dadah yang berjaya kita tumpaskan di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

"Pada Ogos lalu, kita berjaya merampas dadah erimin 5 dan pil ekstasi bernilai RM21.8 juta dari sindiket tersebut.

"Polis percaya terdapat dalang utama sindiket ini dan kita sedang mengesannya serta saki baki ahli sindiket tersebut," katanya.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing kesemua suspek mendapati, empat daripada mereka positif dadah.

"Kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah. Mereka direman tujuh hari bermula 7 November.

"Kita turut menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM 89,000 antaranya dua buah kereta jenis Toyota Hilux dan Hyundai Accent dan sebuah motosikal," katanya.

Tambah beliau, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 125,085 orang penagih dadah jika terlepas ke pasaran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.