177 keluarga di Kampung Manis bakal terima rumah baharu

Iklan
Anthony bersama Kon Yeow menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara RAC dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang dan RAC dengan Rivanis Ventures Sdn Bhd untuk membangunkan semula Kampung Manis di Perai.

SEBERANG JAYA - Seramai 177 keluarga yang merupakan penduduk asal Kampung Manis di Perai bakal memiliki kediaman baharu secara percuma selepas kawasan setinggan yang dihuni mereka bakal dibangunkan menjadi kawasan perumahan moden tidak lama lagi.

Tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu akan dibangunkan oleh Aspen Vision Development Sdn Bhd dan Kerjaya Prospek Group Berhad sebagai pembangunan campuran yang dipanggil 'Rivanis'.

Iklan
Iklan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemberian rumah ganti itu selaras dengan polisi kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu memberikan pampasan yang seadilnya kepada penduduk terkesan sekiranya pembangunan semula kawasan akan dilaksanakan.

"Setiap keluarga akan menerima rumah baharu yang bernilai lingkungan RM400,000 dengan keluasan 850 kaki persegi (259.08 meter persegi) termasuk satu tapak parkir.

Iklan

"Perumahan ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang selain akses pengangkutan awam yang baik di kawasan itu nanti," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Terdahulu, Anthony bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara RAC dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang dan RAC dengan Rivanis Ventures Sdn Bhd untuk membangunkan semula Kampung Manis di Perai.

Iklan

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, penduduk yang terlibat tidak akan terjejas dengan projek pembinaan yang akan dilakukan malah mereka boleh kekal tinggal di rumah masing-masing sehingga projek berkenaan siap.

"Cuma ada beberapa unit perlu dikosongkan untuk dilakukan pembinaan yang selainnya mereka boleh kekal duduk sehingga bangunan itu siap.

"Jadi untuk penduduk di Kampung Manis ini sebenarnya mereka tiada risiko apa-apa pun sebab dia tetap duduk di sana sehingga projek habis yang mana ia mengambil masa maksimum selama tiga tahun dan selepas itu baru pihak pemaju boleh bangunkan kawasan itu untuk komersial pula," katanya lagi.

Sebelum ini, lebih 200 keluarga di Kampung Manis dikatakan bakal diusir selepas mereka menerima notis mengosongkan tanah daripada RAC.

Mereka mendakwa menerima notis itu tanpa sebarang perbincangan dilakukan sebelum ini dan hanya diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengosongkan rumah atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Rata-rata mereka kecewa apabila pihak RAC hanya mahu mengusir mereka keluar dari rumah yang telah dihuni hampir empat generasi tanpa memberi sebarang pampasan ataupun rumah ganti.