'Insiden buli di UPNM bertentangan nilai kemanusiaan, prinsip keamanan'

Iklan
Muhammad Amir Asyraf. Laporan muka depan Sinar Harian bertarikh 11 November.

SHAH ALAM - Insiden buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan prinsip keamanan yang sepatutnya diterapkan dalam institusi pendidikan di negara ini.

Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, universiti terbabit digesa mempertingkatkan langkah pencegahan dan perlindungan menyeluruh terhadap keselamatan mahasiswa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbukti terlibat dalam insiden berkenaan bagi memberikan mesej jelas bahawa tiada kompromi tentang buli dan keganasan.

"Alumni MPPK meminta agar mahasiswa menolak budaya ini dalam apa jua bentuk. Mahasiswa adalah pemimpin masa depan, sikap tanggungjawab serta hormat-menghormati patut menjadi asas perhubungan sesama pelajar.

Iklan

"Kejadian ini amat mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai tempat membentuk generasi muda yang berilmu, berintegriti dan mempunyai jati diri tinggi.

"Budaya buli tidak boleh diterima sama sekali kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan fizikal, tetapi juga memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan komuniti kampus," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Rabu lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM (ALK-UPNM) dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.

Mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas yang menyedari terdapat kesan kecederaan pada tubuh badan.

ATM turut menyatakan, tindakan disiplin bakal dikenakan kepada pihak yang terlibat, jika terbukti bersalah.

Sebelum ini, UPNM juga digemparkan dengan kejadian membabitkan seorang pelajar ditekap menggunakan sterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Terbaharu, seorang pelajar tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.