Suami isteri dituduh perdagang tiga wanita ke Yemen

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita ke Yemen, sejak Mei tahun lalu.

Peniaga pakaian, Mohd Azfar Abd Ghafar, 37, dan Khadiah Yusoff, 31, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Iklan
Iklan

Mengikut semua pertuduhan, dua tertuduh itu didakwa bersama-sama memperdagangkan tiga wanita berusia 19, 27 dan 38 tahun, dengan memperdayakan mereka bagi maksud eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang, di bawah Seksyen 415/417 Kanun Keseksaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor, di wilayah Tarim, Yemen, antara 25 Mei 2023 hingga 4 Julai lalu.

Iklan

Tiga kes itu dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antiperdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migren 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amir Haniff Ahijman tidak menawarkan ikat jamin kepada dua tertuduh yang memakai baju serba hitam itu, dengan alasan kes berkenaan melibatkan tiga mangsa warga tempatan, yang dieksploitasi ke negara yang bergolak.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, beliau mencadangkan, setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap kes.

"Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes ini selesai dan melaporkan diri di balai polis berdekatan, sekali setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Adnan Seman merayu, kadar itu dikurangkan kerana keluarga tertuduh tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan hasil sewaan rumah.

"Tiga mangsa itu hanya mengikut mereka untuk melanjutkan pengajian dan tiada elemen keganasan atau pemerdagangan manusia.

"Saya mohon, anak guam tidak perlu melaporkan diri di balai polis, memadai syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Disember depan.