SHAH ALAM - Tindakan peniaga yang mempromosikan produk mereka dengan menggunakan elemen lucah untuk melariskan jualan tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi peniaga tersebut merupakan seorang Muslim.
Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, perbuatan menggunakan elemen lucah dalam perniagaan tidak boleh dinormalisasikan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya masyarakat setempat.
"Islam adalah agama yang menjaga akhlak dan etika. Tidak sewajarnya dan tidak seharusnya perkara lucah atau membawa kepada elemen lucah dinormalisasikan.
"Berdasarkan petikan video yang tersebar baru-baru ini, nampaknya ia mempunyai elemen kelucahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai peniaga donut yang menyertai sebuah karnival makanan di Kedah menggunakan perkataan tidak senonoh untuk menarik perhatian pembeli.
Menurut ahli akademik itu, tidak wajar sama sekali para peniaga menggunakan perkataan dan memek muka yang menjurus kepada aktiviti atau elemen lucah.
"Menganggap biasa perbuatan seumpama ini akan menyebabkan ia menjadi normal dan lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan serta budaya yang buruk dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya lagi, perbuatan tersebut sekali gus mencemarkan imej baik agama Islam di mata penganut agama lain.
"Kita bimbang dengan kelakuan sesetengah peniaga mempromosikan barang jualan menggunakan elemen lucah ini dipandang buruk oleh bukan Islam.
"Ini kerana dibimbangi mereka (yang bukan Islam) melihat Islam itu melalui penganutnya dan bukan melalui ajaran Islam itu sendiri yang bersumberkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW,” hurainya.
Ujarnya, orang ramai sepatutnya menegur perbuatan peniaga tersebut dan sekiranya mereka masih berdegil menggunakan pendekatan elemen lucah dalam promosi barang jualan, pengguna boleh memilih peniaga lain yang lebih berakhlak.