Imigresen serbu lapan premis, tahan 23 warga asing

Iklan
Lapan premis diserbu Imigresen di Taman Abad, Johor Bahru, Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 23 warga asing selepas menyerbu lapan premis di Taman Abad di sini, Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu pada jam 8.10 malam itu dilakukan susulan aduan mengenai warga asing bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Iklan
Iklan

"Kesemua ditahan ialah tujuh lelaki warganegara Pakistan, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia, tiga lelaki India dan empat lelaki Bangladesh.

"Turut ditahan seorang lelaki Myanmar, seorang lelaki Singapura dan seorang lelaki Palestin masing-masing berumur 20 tahun hingga 53 tahun.

Iklan

"Lelaki Singapura tersebut mempunyai pasport dan bekerja mengambil pesanan manakala lelaki Palestin berkenaan buat shawarma,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, semua mereka ditahan dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Iklan

Mereka juga katanya, disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS).

Operasi dilakukan susulan aduan mengenai warga asing bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Sebanyak tiga notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan.

"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau memberitahu, JIM Johor akan terus konsisten melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama lokasi- lokasi tumpuan.

Tambah beliau, JIM Johor turut memerangi majikan serta individu yang menggaji pekerja warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah.