Kemuka tuntutan palsu, Penolong Pegawai JPV didenda RM5,000

Iklan
Tertuduh tengah didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada sebuah syarikat.

KUALA TERENGGANU - Penolong Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu.

Hakim Mohd Azhar Othman memutuskan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd Hisham Daud, 46, selepas mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atasnya.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hisham didakwa membuat tuntutan palsu melibatkan kerja-kerja selenggara dan alat ganti kenderaan jabatan dengan nilai keseluruhan RM8,578.69.

Dia didakwa meluluskan dokumen inden kerja atau pesanan tempatan bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada sebuah syarikat bernilai RM1,615.20, RM1,574.09, RM3,808.10 dan RM1,581.30.

Iklan

Bagaimanapun perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan oleh syarikat terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac 2019 hingga Jun 2020.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Tertuduh kemudiannya ditawarkan oleh pihak pendakwaan dengan pertuduhan pilihan di bawah seksyen 471/465 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 selepas tertuduh mengemukakan representasi.

Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Isnin.

Tertuduh telah membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan iaitu untuk tuntutan yang bernilai masing-masing RM1,574.09 (bagi pertuduhan pilihan kedua) dan RM3,808.10 (bagi pertuduhan pilihan ketiga).

Baki dua lagi pertuduhan diambil pertimbangan atau 'take into consideration' (TIC) selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah

Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM2,000 dan jika gagal membayar, tertuduh boleh dikenakan hukuman dua bulan penjara bagi kesalahan pertuduhan pilihan kedua.

Selain itu, tertuduh turut didenda RM3,000 dan jika gagal bayar boleh dikenakan 3 bulan penjara bagi pertuduhan pilihan ketiga dan mengarahkan hukuman berjalan serentak.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Afiq Farhan Mohd Hanipha.