UPNM perlu buat penilaian semula cara operasi - MCA

Iklan
UPNM perlu melakukan penilaian semula terhadap cara operasi bagi memastikan gejala buli dihentikan dan nama institusi berkenaan dimartabatkan semula.

SHAH ALAM - Pihak Universiti Pertahanan Nasional Malayisa (UPNM) perlu melakukan penilaian semula terhadap cara operasi bagi memastikan gejala buli dihentikan dan nama institusi berkenaan dimartabatkan semula.

Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, latihan kadet boleh dibuat tanpa membabitkan perbuatan membuli junior oleh senior manakala bagi perlakuan ‘ragging’ dan ‘hazing’ pula harus dipantau dengan teliti oleh seorang penyelia untuk memastikan ia tidak melampau.

Quin Er

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan ‘hazing’ tersebut juga perlu mempunyai matlamat iaitu untuk membina mentaliti yang kuat dan sikap sabar atau tenang apabila menghadapi dugaan.

"Alasan gurauan atau main-main sahaja dalam kalangan kadet tidak boleh diterima langsung dan staf UPNM juga harus dipertanggungjawabkan. Kakitangan UPNM tidak harus bergantung kepada hukuman semata-mata untuk menghalang kes buli.

Iklan

"Sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif untuk mengubah cara pemikiran bahawa buli ini sebahagian latihan, kerana dibimbangi menjadi luar kawalan sehingga menyebabkan kecederaan serius.

"Satu mekanisme perlu dilaksanakan agar junior boleh membuat aduan terhadap mana-mana senior yang membuli. Kami sedar UPNM mahu memupuk pengajaran menurut perintah tanpa menyoal arahan senior tetapi kuasa ini jelas sekali telah disalah guna,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Quin Er berkata, tragedi maut yang melibatkan Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu tidak berjaya mengubah pemikiran pelatih dan jurulatih di institusi tersebut.

"Tidak sampai sebulan selepas pendedahan kes buli di universiti berkenaan, dilaporkan satu lagi kes buli. Insiden ini amat memalukan nama universiti berprestij yang berperanan melatih bakat dan pelapis masa hadapan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Malah, di media sosial ramai juga netizen yang menggesa pembubaran UPNM dan pelajar, ahli akademik serta staf dipindahkan ke institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

"Sebagai peguam dan pernah menyertai Askar Wataniah, saya merasakan perlunya langkah yang konstruktif diambil untuk mengubah mentaliti bahawa buli adalah perkara biasa,” ujarnya.