Benarkah ibu bapa tanggung dosa jika anak tidak solat?

Iklan
KERAP kali kita mendengar orang di sekeliling menyatakan bahawa ibu bapa akan menanggung dosa anak tidak solat, pernyataan yang sudah sebati dalam kalangan masyarakat kita sejak dahulu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

JARANG kita melihat ibu bapa hanya mendiamkan diri apabila mendapati anak mereka tidak solat.

Mulut ibu pasti akan berleter panjang dan bapa pula walaupun nampak tenang, tetapi bicaranya cukup menggerunkan hati anak untuk segera mendirikan kewajipan tersebut.

Iklan
Iklan

Semua ibu bapa tahu tanggungjawab masing-masing, cuma kita bukan selalu di samping anak-anak selama 24 jam kerana perlu menguruskan rutin harian dan perkara lain.

Adakalanya anak-anak culas, tidak cukup lima waktu atau terbabas mengerjakan Rukun Islam kedua itu tanpa pengawasan rapi daripada penjaganya.

Iklan

Namun, mendengar omongan ramai bahawa ibu bapa akan menanggung dosa anak tidak solat begitu menggentarkan.

Sebenarnya, benarkah pernyataan yang sudah sebati dalam kalangan masyarakat kita sejak dahulu?

Iklan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, ibu bapa sememangnya diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk mendidik anak-anak agar mereka mendirikan solat saat berusia tujuh tahun.

IBU bapa sememangnya diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk mendidik anak-anak agar mereka mendirikan solat saat berusia tujuh tahun. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

"Ketika usianya 10 tahun, ibu bapa boleh memukul anak dengan pukulan tidak mencederakan dengan niat mendidik jika mereka tidak mendirikan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Fatwa Siri ke-666: Adakah ibu bapa terseksa apabila anak meninggalkan solat yang disiarkan dalam laman web pejabat mufti berkenaan.

Perkara itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW:"Perintahlah anak-anak kamu agar mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakan solat) ketika mereka berumur 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

"Bahkan, Islam juga memerintahkan agar ibu bapa menjaga diri dan ahli keluarga daripada melakukan dosa dan maksiat kepada ALLAH.

"Disebabkan itu hubungan antara ayah dan anak adalah hubungan yang mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Pengabaian kepada tanggungjawab ini akan dipersoalkan di sisi ALLAH SWT di akhirat kelak,” terangnya.

Bagaimanapun, dalam konteks dosa pula, pejabat mufti itu menjelaskan, setiap individu itu tidak akan menanggung kesalahan atau dosa orang lain walaupun ahli keluarganya.

Ia sebagaimana disebut menerusi firman ALLAH SWT: "Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang dibebani dosa yang berat mahukan (orang lain) untuk memikul bebannya sekalipun, ia tidak akan dipikulkan sedikit pun, meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya.” (Surah Fatir: 18)

IBU bapa tidak menanggung dosa anaknya jika mereka memberi pendidikan agama untuk menyelamatkan permata hati masing-masing daripada azab api neraka. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

"Bahkan, ALLAH SWT memberi amaran yang jelas bahawa setiap orang akan mendapat balasan terhadap dosa-dosa dilakukan, bukannya orang lain yang mendapat azab tersebut sepertimana disebutkan pada ayat ke-38 dan 39 surah al-Muddassir,” katanya.

"Sebaik tanggungjawab ini terlaksana, maka segala perbuatan anak yang meninggalkan solat adalah ditanggung oleh diri mereka sendiri.

"Adapun, ibu bapa yang gagal memberikan didikan agama kepada anak-anak, maka sebarang perbuatan maksiat yang dilakukan oleh anak tersebut akan turut ditanggung kedua orang tuanya,” tulisnya dalam artikel berkenaan.