Trump mula 'gila kuasa'

Iklan
Trump mula tunjuk belang mahu lebih berkuasa di bawah pentadbiran penggal kedua beliau. - Foto Agensi

WASHINGTON - Beberapa hari sebelum Parti Republikan (GOP) melantik pemimpin baharu mereka di Senat, Donald Trump dikatakan telah memberi tekanan kepada calon untuk mengubah peraturan yang melanggar Perlembagaan, sekali gus memberi kuasa lebih meluas kepadanya bagi melantik beberapa calon pegawai utama tanpa melalui proses undi di dewan tersebut.

Seramai tiga calon iaitu John Thune, John Cornyn dan Rick Scott melalui proses undian secara rahsia pada Rabu lalu untuk memilih siapa yang bakal menggantikan pemimpin GOP, Mitch McConnell yang memegang jawatan itu selama hampir dua dekad.

Iklan
Iklan

Pada Ahad, bakal Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS) itu menyatakan beliau berharap pemimpin baharu tersebut dapat membolehkan beliau membuat lantikan segera di bawah pentadbiran Trump 2.0.

Difahamkan, keputusan Mahkamah Agung 2014 mengehadkan kuasa Presiden membuat lantikan eksekutif kanan seperti jawatan Kabinet dan badan kehakiman ketika tempoh berehat bagi mengelakkan Presiden melangkaui undian pengesahan Senat.

Iklan

Sikap terburu-buru Trump, 78, menyebabkan ketiga-tiga calon akur dengan cadangan bilionair hartanah tersebut meskipun para senator hanya akan mengangkat sumpah jawatan pada awal Januari depan.

Menerusi catatan di media sosial, beliau juga menegaskan Senat tidak boleh meluluskan pelantikan mana-mana hakim sebelum GOP mengambil alih kuasa pada Januari 2025 berikutan undi majoriti di Dewan Perwakilan AS kini dipegang Parti Demokrat.

Iklan

"Demokrat pastinya mengambil peluang untuk melantik hakim mereka sendiri ketika GOP sedang bergelut untuk melantik kepimpinan mereka. Ia adalah tindakan yang tidak boleh diterima,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump telah menamakan seorang lagi calon wanita pilihannya, Elise Stefanik untuk dilantik sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, beliau juga melantik semula Tom Homan untuk mengawasi sempadan negara pada penggal pentadbiran 2025-29.

"Saya berbesar hati untuk mengumumkan pelantikan bekas Pengarah Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) sebagai ‘Tsar sempadan’ kerana tiada calon lain yang layak untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Beliau akan menyelia kesemua proses deportasi pendatang haram ke negara asal mereka,” ujarnya menerusi platfrom Truth Social.

Ketika kempen pilihan raya, Trump berulang kali menyebut tentang isu migran yang berterusan dilabel sebagai ‘tetamu tidak diundang’ di AS hingga mengundang resah kepada golongan itu. - Agensi