SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Karangkraf dalam usaha memperkasa dakwah menerusi program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif MAIWP, Mohd Fauzi Abidin berkata, kelebihan dan kepelbagaian program agama yang berteraskan ajaran al-Quran, hadis dan sunnah dijangka bakal memberi lonjakan inovasi kepada MAIWP.
"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya melaksanakan satu lawatan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf dan mendapat satu lonjakan inovasi hasil daripada apa yang dilakukan atau dikendali oleh syarikat ini.
"Perkongsian daripada kunjungan ini bakal diguna pakai dalam pengurusan MAIWP, mungkin tidak setanding dengan Kumpulan Karangkraf tetapi ada perkara baharu yang boleh kita bawa balik ke MAIWP," katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, walaupun di MAIWP turut mengadakan program berkaitan keagamaan iaitu majlis khatam al-Quran, namun pengisian majlis dengan acara tadabbur bakal memberi lebih banyak manfaat.
"Program berkaitan dakwah menerusi al-Quran juga dilaksanakan MAIWP tetapi dalam bentuk lain, jadi dengan program #QuranHour anjuran WUIF ia boleh dilaksanakan secara kerjasama kerana pada akhirnya impak itu lebih baik dengan kos rendah.
"Insya-ALLAH kita akan adakan satu perbincangan khusus untuk jalin kerjasama strategik antara MAIWP dan Kumpulan Kakrangkraf khususnya pembangunan asnaf di Wilayah Persekutuan. Kita jangka ia bakal bermula pada 2025," tambah beliau.
Sementara itu, Pengurus Kanan Penerbitan Al-Quran, Grup Buku Karangkraf, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, lawatan tersebut berjaya memberi pendedahan lebih mendalam kepada MAIWP berkaitan gerak kerja yang dijalankan di Kumpulan Karangkraf.
Ujarnya, sebelum ini mungkin pihak luar hanya melihat Kumpulan Karangkraf sebagai syarikat biasa, namun persepsi itu berubah apabila melihat sendiri secara lebih dekat kilang percetakan, lokasi pelupusan al-Quran, ruang operasi media dan lain-lain.
"Alhamdulillah, kita sambut mereka dan kita bawa mereka melawat ke tempat kita seperti Mall Karangkraf, kilang percetakan, ruang operasi media termasuklah studio WUIF. Daripada situ mereka dapat lihat apa yang kita ada serta mengenali kita secara keseluruhan.
"Hari ini mereka baru tahu kita ada jalankan operasi percetakan dan juga penerbitan. Wakil MAIWP turut mengakui tidak menyangka kita ada fasiliti percetakan yang besar dan lengkap.
"Sememangnya kita merupakan grup percetakan terbesar di Malaysia dan sudah tentu mereka turut melihat perkara berkaitan yang boleh dikolaborasikan bersama," jelasnya.
Tambah beliau, Kumpulan Karangkraf mengalu-alukan hubungan kerjasama bersama MAIWP dalam memperkasakan lagi usaha dakwah kepada orang ramai menerusi ajaran al-Quran dan sesi taddabur pada masa akan datang.
Ujarnya, kolaborasi tersebut dijangka memberi impak mendalam dan membantu lebih ramai pihak untuk memahami kandungan ayat dalam al-Quran itu sendiri.
"Selama ini MAIWP hanya adakan program khatam al-Quran, itu program yang biasa. Jadi, kalau kita boleh kerjasama dengan #QuranHour mungkin akan memberi impak yang lebih baik dan kita mengalu-alukan kerjasama ini.
"Mudah-mudahan apa yang kita rancang dan cetuskan bakal disambut serta berkembang dengan lebih baik terhadap masyarakat sekeliling," ujarnya.