Ahli perniagaan terperdaya 'scammer' pelaburan di WeChat, RM1.6 juta lesap

Iklan
Hussein

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan rugi lebih RM1.6 juta gara-gara terpedaya dengan tawaran pelaburan di aplikasi WeChat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan kejadian itu dibuat mangsa berusia 56 tahun pada Sabtu lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, modus operandi suspek ialah membuat urusan di aplikasi WeChat dengan menghantar pautan dan meminta mangsa memuat turun aplikasi platform pelaburan tersebut.

"Seterusnya mangsa juga diminta memuat turun satu aplikasi menyerupai aplikasi Luno untuk menambah nilai ke akaun berkenaan.

Iklan

"Mangsa telah membuat transaksi pertama ke akaun suspek melalui aplikasi terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, suspek juga diajar cara memindahkan wang daripada aplikasi yang menyerupai Luno itu ke platform terbabit.

Iklan

Tambah Hussein, selepas beberapa hari, mangsa mendapati pelaburan di aplikasi itu telah memperolehi keuntungan, namun wang itu gagal dikeluarkan dan suspek memberi alasan berkaitan bayaran cukai, 'cross border transfer fee' selain diminta membuat bayaran tambahan.

Katanya lagi, mangsa kemudian membuat 44 kali transaksi ke empat akaun bank berbeza bernilai RM1,688,725.

"Mangsa menyedari tertipu selepas gagal mendapatkan keuntungan yang dijanjikan," katanya.

Tegasnya, polis mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dengan skim tawaran pelaburan dalam talian selain membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.