KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyerbu sebuah restoran mamak yang didakwa menerima bekalan minyak masak paket dalam kuantiti banyak daripada lori pembekal.
KPDN WPKL mengesahkan, aduan diterima itu benar dan pemeriksaan di premis berkenaan menemukan simpanan stok minyak disorok dalam stor berkunci di bahagian dapur.
Menurutnya, sebanyak 260 kilogram minyak masak peket bernilai RM650 melibatkan dua jenama dijumpai dalam stor berkunci tersebut.
"Minyak tersebut telah disita dan pemborong yang membekalkannya telah dikenal pasti melalui dokumen penjualan yang turut disita.
"Pemeriksaan susulan mendapati restoran tersebut tidak mempunyai permit untuk menyimpan barang kawalan bagi kegunaan perdagangan di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Susulan itu katanya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan akan dijalankan ke atas restoran dan pemborong barang kawalan berkaitan.
"Menjadi tanggungjawab pihak pemborong yang diberikan lesen barang kawalan untuk menjual minyak masak paket kepada pasaran bagi kegunaan pengguna isi rumah sahaja.
"DI bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit salah pelaku boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5 juta atau dipenjarakan sehingga lima tahun mengikut kesalahan," katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan ketirisan barangan kawalan dan subsidi boleh menyalurkan aduan ke https://eaduan.kpdn.gov.my, 1 800 886 800, e-aduan@kpdn.gov.my atau WhatsApp 019 848 8000.