LIPIS - Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memasuki kawasan Hutan Jabi, Kampung Redan, Mela di sini untuk aktiviti menangkap ikan pada Ahad.
Mangsa, Rosdan Mat Isa, 53, dari Kampung Redan dipercayai ke sungai dalam kawasan hutan itu jam 4 petang pada Sabtu bersama dua ahli keluarga.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mereka merancang untuk berkhemah di kawasan hutan itu bagaimanapun kira-kira jam 12 tengah malam mangsa mengalami kekejangan hingga jam 3 pagi.
"Dalam keadaan cuaca hujan, keadaan mangsa bertambah teruk hingga tidak sedarkan diri.
"Usaha mendapatkan bantuan sukar kerana kawasan kejadian tiada liputan talian telefon," katanya.
Ismail berkata, anak saudara mangsa (pengadu) yang ikut bersama mengambil keputusan keluar dari kawasan hutan itu mencari bantuan.
"Kira-kira jam 10 malam pada Ahad, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian bagaimanapun lelaki itu dilaporkan telah meninggal dunia.
"Usaha mengeluarkan mayat mangsa berdepan kesukaran dan mengambil masa kira-kira tiga jam ekoran keadaan laluan yang mencabar selain jaraknya yang jauh," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut.
"Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat saluran jantung tersumbat.
"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.