PELUMBA sensasi, JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah giat membuat persiapan menjelang pusingan terakhir Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Thailand bulan depan.
Hafizh Syahrin dalam misi mencabar kedudukan teratas kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram bermula 6 hingga 8 Disember ini.
Bagi mengharungi saingan terakhir tersebut, pelumba berusia 30 tahun itu dilihat memanfaatkan kemudahan gimnasium di pusat latihan JDT.
Perkembangan berkenaan dikongsi menerusi laman sosial Johor Southern Tigers.
"Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah memanfaatkan fasiliti canggih yang ada di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam sebagai persediaan mengharungi perlumbaan ARRC 2024 di Buriram, Thailand.
"Pusingan keenam yang juga terakhir musim itu akan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2024 di Litar Antarabangsa Chang. Luaskan Kuasamu Johor,” catat kelab tersebut.
Selepas berjaya meraih podium dalam perlumbaan kedua ASB1000 di Sepang pada September lalu, Hafizh Syahrin berharap itu menjadi momentum buat dirinya meraih kemenangan di Buriram.
Hafizh Syahrin ketika ini menduduki tangga ketiga kategori berkenaan dengan 137 mata.
Yuki Kunii yang mewakili SDG Team HARC-PRO Honda Ph menerajui kategori ASB1000 selepas meraih 142 mata, manakala Andi Farid Izdihar yang mewakili Honda Asia-Dream Racing pula meraih 140 mata.