KUALA LUMPUR - Tiada lesen memandu serta kesalahan teknikal antara kesalahan tertinggi direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) Siri 11, pada Isnin.
Menurut kenyataan JPJ Wilayah Persekutuan, sebanyak 587 notis saman dikeluarkan dalam operasi yang bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.
"Sebanyak 232 kes berkaitan kesalahan teknikal, kesalahan kedua tertinggi dicatatkan iaitu tiada lesen memandu sebanyak 209, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (83)," katanya.
Menurutnya, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaksanakan operasi itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang di kalangan pemandu warga asing di jalan raya.
"Sepanjang operasi, 1,458 kenderaan diperiksa, dengan 243 tindakan diambil terhadap pelbagai kesalahan. JPJ turut menyita 101 kenderaan termasuk 90 motosikal," katanya.
Operasi itu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah selaras dengan Operasi Khas Motosikal yang dilancarkan secara rasmi pada 1 November lalu yang memfokuskan penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal di seluruh negara.
"Seramai 78 pemandu warga asing dari beberapa negara termasuk Pakistan, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar telah diperiksa dalam operasi itu.
"Langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu warga asing yang tidak mematuhi undang-undang," katanya.
Menurut kenyataan itu, penunggang dan pemilik motosikal di seluruh negara diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya termasuk memakai topi keledar, mempunyai lesen memandu dan LKM sah, serta mematuhi peraturan lalulintas yang lain.
"JPJ menyeru semua pengguna jalan raya, khususnya warga asing dan penunggang motosikal, untuk memastikan kepatuhan terhadap undang-undang demi keselamatan bersama," katanya.