TAIPING - Sektor pelancongan antara yang akan diberikan perhatian di dalam Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentangkan pada hujung bulan ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu dibuat kerana mengambil kira Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, dalam mesyuarat exco dibangkitkan tentang perkara itu dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee diminta melihat keperluan berkaitan.
"Jika ada keperluan untuk membuat persiapan contohnya perlukan jeti atau mana-mana infrastruktur yang difikirkan perlu bagi menyambut kehadiran pelancong kita kena buat tahun depan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 8 Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Saarani turut melancarkan Peta Eko Warisan Teroka Batu Kurau yang merupakan sebuah inisiatif penting untuk menjadikan Batu Kurau sebagai destinasi pelancongan ekowarisan.
Menurutnya, Peta Eko Warisan Teroka Batu Kurau memperkenalkan tarikan utama seperti Rumah Agam 1918, durian kampung, Lata Sempeneh, dan Batu Kapur Gunung Kurau.
"Projek ini terlaksana dengan sokongan dana RM38,550 dari Think City melalui Geran Pemangkin Ekonomi Budaya, bagi mempromosikan Batu Kurau sebagai destinasi mampan dan inklusif yang melibatkan komuniti setempat.
"Saya berharap inisiatif ini mampu memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi Batu Kurau dan memperkukuh sebagai destinasi pelancongan utama di Perak, serta menjadi model kepada usaha pelancongan ekowarisan di daerah lain," katanya.
Beliau berkata, Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang diterapkan dalam projek tersebut memberi peluang kepada masyarakat setempat, termasuk wanita dan belia, untuk menerima manfaat ekonomi langsung daripada kedatangan pelancong.