Video tuduh ADUN rasuah: Dr Yusof serah pada SPRM, yakin rakaman guna AI

Iklan
Dr Yusof

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah baru-baru.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad itu menganggap, mungkin ada pihak mengambil kesempatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang meluas ketika ini dengan mengaitkannya berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

"Biarlah mereka viral, sekarang ada AI ini masalah. Tidak payah (nafi), cakap saja biar SPRM yang siasat kalau ada kes.

"Kita jawab banyak, lagi banyak nanti (timbul)... Sekarang ini boleh macam-macam AI," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Katanya lagi, beliau sedia untuk datang kepada SPRM memberikan kerjasama jika pihak tertentu mempunyai bukti mengenainya.

"Ya, kalau ada bila-bila masa, saya tiada masalah, (beri kerjasama) ya (saya datang)," katanya.

Iklan

Bagaimanapun, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin itu juga mahu perkara tersebut diperjelaskan kerana ketika ini ada pelbagai musuh yang datang.

"Kita jelaskan perkara ini. Sekarang ini kita banyak musuh macam-macam. Itulah, hati-hati juga dalam musim ini, macam-macam orang boleh buat," katanya.

Namun Dr Yusof tidak menolak ia adalah salah satu agenda pihak musuh untuk menjatuhkannya memandangkan ketika ini Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjelang.

"Yalah biasalah, kiranya kita kuat, kita stabil, macam-macam caralah orang buat begitu, musuh-musuh kita ni.

"Dalam politik ini banyak musuh kita tidak tahu siapa," katanya.

Sebelum itu, satu video yang dimuat naik sebuah portal berdurasi 17 saat yang memaparkan rakaman suara perbualan didakwa melibatkan ADUN Sabah dan kontraktor berhubung kegiatan rasuah.

Suara ADUN tersebut didakwa milik Dr Yusof namun setakat ini belum ada kesahihan mengenainya.

Sebuah portal berita baru-baru ini turut mendedahkan lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sehingga RM4 juta yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.