SEREMBAN - Semua pihak perlu melihat secara positif berkenaan langkah Kementerian Pendidikan yang akan menggunakan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Setiausaha Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia(Kongres),Mohd Azizee Hasan berkata, bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terutama pendekatan digunakan bagi menyampaikan modul berkenaan kepada pelajar.
"Pihak kesatuan guru menyambut baik langkah kementerian memperkenalkan modul ini kepada pelajar sekolah.
"Diharapkan modul ini mampu mengatasi isu kesihatan reproduktif terutama membabitkan isu kehamilan luar nikah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, menggunakan pendekatan keagamaan seperti pengasingan pelajar lelaki dan perempuan khususnya yang beragama Islam perlu dipertimbangkan.
Ini kerana katanya, bagi mengelakkan pelajar malu untuk bertanya sekali gus memastikan ilmu itu benar-benar sampai.
"Ia juga boleh dilakukan untuk pelajar bukan beragama islam juga, supaya pelajar lelaki serius bertanya dan pelajar perempuan pula tidak malu bertanya.
"Latihan khusus kepada guru-guru dan kaunselor perlu diberi agar mereka terlatih dalam menyampaikan bahan tersebut seperti penggunaan ayat, bahasa yang tepat, serius dan bukan ada unsur- unsur mengejek serta mmempersenda.
"Guru-guru juga perlu kemahiran dan ilmu terutama berdepan pelajar," katanya.
Apa yang pentingnya kata beliau, ia perlu disampaikan mengikut kerangka pendidikan yang betul berdasarkan prinsip agama dan budaya nusantara dan tidak terikat dengan pendekatan barat.
Tambahnya, penglibatan ibu bapa sebagai 'primary educator' juga penting dan perlu dibimbing untuk berkomunikasi dengan betul dan berkesan kepada anak.
Sebelum ini media melaporkan, PEERS akan digunakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dalam usaha menangani kes kehamilan remaja di luar nikah yang dilihat semakin membimbangkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil perhatian serius isu yang berbangkit dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama rentas kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu yang berlaku.