SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan memberi ruang seluas-luasnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan tugas susulan insiden kebakaran di Hospital Papar, Sabah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, semua sumber sedang ditumpukan bagi memastikan pesakit dan warga hospital selamat.
"Alhamdulillah, saya dimaklumkan evakuasi yang perlu juga berjalan lancar. Kemas kini seterusnya akan diberikan setelah mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib.
"Sama-sama kita doakan keselamatan dan kesihatan semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini dilaporkan, kakitangan Hospital Papar bertungkus-lumus mengeluarkan pesakit di wad selepas stor farmasi hospital tersebut terbakar dalam kejadian sekitar jam 7 malam Isnin.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu segera digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh empat kilometer.