MINGGU ini kita dikejutkan dengan pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa ramai anak muda dari negeri itu berkunjung ke Golok, Selatan Thailand pada hari minggu untuk berhibur di kelab malam.
Pendedahan itu sudah pasti menyebabkan banyak sangkaan bahawa golongan muda di Kelantan adalah ‘liar’ dan suka berhibur, tidak seperti wajah negeri yang digelar Serambi Makkah.
Lebih menyedihkan, ramai netizen yang mengaitkan tiada hiburan di Kelantan antara faktor anak muda keluar ke Thailand.
Memang kita tidak boleh menidakkan situasi itu, tetapi janganlah menuding jari kepada semua golongan muda Kelantan kerana masih ada yang memenuhi ruang masjid dan surau pada hujung minggu.
Membelek tajuk itu di setiap media massa dan media sosial, ada netizen mempertikaikan usaha kerajaan negeri untuk terus meningkatkan institusi berkaitan Islam.
Ada juga yang positif bahawa Kelantan sudah bersih daripada pusat hiburan.
Ada juga yang mengulas bahawa perkara itu merupakan masalah individu yang sememangnya gemar berhibur selain turut melibatkan golongan muda dari negeri lain.
Penulis teringat perbualan bersama seorang ibu dari sebuah negeri di luar Pantai Timur beberapa bulan lalu mengaitkan perkara ini.
Ibu tiga anak itu bimbang untuk membawa anaknya ke Kelantan kerana tidak mahu anak perempuannya berusia awal 20-an melintasi sungai ke Golok.
Sungguh lucu apabila ada keluarga yang memberitahunya bahawa cukup senang untuk ke Golok hanya melalui sungai.
Penulis tidak sependapat dengan dakwaan itu kerana mereka juga perlu berdepan undang-undang.
Sesiapa sahaja boleh menggunakan kemudahan haram yang disediakan tetapi perlu memikirkan undang-undang negara tersebut jika ditangkap.
Ibu berkenaan turut mendakwa ada anak rakan-rakan dan ahli keluarga dari beberapa negeri lain gemar mengunjungi Thailand.
Yang nyata bukan kerana mahu menikmati makanan atau melancong tetapi pergi berhibur.
Kita bersetuju dengan pendedahan Ketua Polis Kelantan kerana mereka lebih tahu.
Bagaimanapun, jagalah aib kita wahai anak muda Kelantan. Kita dipersendakan walaupun hakikatnya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Jadikan pengajaran dengan tangkapan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi popular dialek Kelantan berikutan penemuan 6,000 pil kuda di negara itu pada awal minggu lalu.
Selain laporan media, tular juga enam rakyat Malaysia berusia 25 hingga 32 tahun ditahan pada jam 6 pagi waktu Malaysia selepas dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok.
Mungkin ada yang beralasan hanya mengikut rakan berhibur tetapi sejauh mana ‘kesetiaan’ mereka untuk bersama jika sudah berada dalam situasi seperti itu.
Siapa yang harus dipersalahkan kerana ibu bapa sudah tentu tidak mampu mengawal anak-anak yang sudah berusia 20-an. Dalam usia tersebut juga perbelanjaan juga tidak menjadi halangan kerana bekerja sendiri.
Tidak pasti sejauh manakah seronoknya berhibur di Thailand sehingga mereka yang pergi ke sana dilaporkan sanggup menunggu giliran untuk masuk ke pusat hiburan.
Bahkan, Mohd Yusoff turut mendedahkan, kebanyakan mereka yang berkunjung ke negara jiran itu akan menggunakan laluan haram dengan menyeberangi Sungai Golok selepas meletakkan kenderaan di Rantau Panjang.
Sukar juga untuk membuat pemeriksaan umur di tempat parkir kenderaan namun mungkin masih ada kaedah sistematik mengesan usia remaja ini bagi mengelakkan mereka bergerak ke Golok melalui lokasi haram.
Justeru, kita berharap ada usaha yang akan dilakukan bagi mengekang lebih ramai anak muda melintasi sempadan Kelantan-Golok untuk tujuan berhibur.
* Aswany Omar ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan