'Setiap penyanyi, pemuzik perlu tuntut hak mereka'

Iklan
Qi menyokong penuh usaha Radhi OAG mendapatkan haknya.

BEKAS pemain drum OAG, Qi Razali berpendapat setiap pemuzik mahupun penyanyi perlu berjuang menuntut hak royalti masing-masing walaupun adakalanya proses tersebut memakan masa dan duit.

Bahkan Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali Wong, 47, menyokong penuh usaha vokalis OAG, Radhi untuk menuntut royalti bagi setiap lagu OAG yang diperdengarkan di platform penstriman bermula enam tahun lepas daripada label yang pernah menaungi kumpulan itu.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya sudah lama kami cadangkan kepada Radhi untuk menuntut haknya. Bagi saya ini bukan perjuangan Radhi seorang tetapi juga untuk kumpulan OAG.

"Ini kerana Radhi adalah OAG dan OAG adalah Radhi. Cuma proses itu bukan mudah. Kami juga sudah banyak kali berbincang perkara sama, tetapi penghujungnya sama," ujarnya.

Qi Razali

Iklan

Qi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya, Babah di Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini.

Tambah Qi, ada kumpulan yang pernah memperjuangkan hak royalti mereka daripada syarikat rakaman dan label dan berjaya dengan bantuan peguam.

Iklan

Justeru sekiranya benar Radhi mahu memperjuangkan haknya, ia perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang yang betul dengan bantuan peguam yang berkemahiran.

"Tidak dinafikan, bila kita sain kontrak, hak itu dipegang oleh pihak lain, susah untuk kita tuntuk semula. Ia melibatkan satu proses yang rumit dan panjang.

"Radhi perlu pertimbangan setiap proses itu kerana hak royalti ini melibatkan sesuatu di luar bidang kita iaitu undang-undang. Cuma proses itu bukan percuma," jelasnya.

Qi ketika bertemu media baru-baru ini.

Ditanya mengenai royalti yang diterima sepanjang 30 tahun bergelar pemuzik, pelakon dan pengacara itu mengakui tidak mendapat hak yang sewajarnya.

Bagaimanapun, Qi bersyukur kerana masih ada pihak yang menghargai pemuzik dan penyanyi seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) yang masih membayar royalti.

"Saya ada terima pembayaran royalti daripada RTM. MACP juga setahu saya tidak culas membayar royalti kepada penyanyi dan penulis seperti Radhi.

"Jadi pada pandangan saya setiap penyanyi atau pemuzik itu perlu usaha untuk tuntut hak mereka," akhirinya.