Dakwaan rasuah ADUN: Pelaksanaan, gerak kerja SPRM main peranan

Iklan
Tangkap layar laporan Sinar Harian.

LAPORAN berhubung rakaman video mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa terlibat dalam rasuah bernilai ratusan ribu ringgit masih lagi berlanjutan tanpa sebarang pendedahan daripada mana-mana pihak.

Rakaman video tersebut memaparkan penerimaan wang berkenaan dipercayai bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Iklan
Iklan

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, namun wajahnya tidak kelihatan meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Ahad berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan perkara berkenaan.

Iklan

Tegas beliau, pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada SPRM bagi memulakan sebarang proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Tidak dinafikan mana-mana pemberi maklumat sudah tentu mempunyai keraguan terhadap keberkesanan akta berkenaan dalam melindunginya.

Iklan

Lebih-lebih lagi apabila pendedahan yang ingin dilakukan itu membabitkan skandal besar rasuah atau politik wang yang membabitkan wang rakyat.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada Isnin meminta pemberi maklumat kes rasuah tersebut untuk menghubunginya sebelum sidang Parlimen berakhir pada pertengahan Disember depan.

Beliau berkata, bantuan itu dihulur memandangkan pemberi maklumat yang mempunyai informasi penting memohon perlindungan penuh sebelum memfailkan laporan kepada SPRM, namun agensi terbabit memberitahu tiada jaminan imuniti bertulis sama ada akan disiasat, didakwa atau sebaliknya.

Itu antara usaha yang boleh digerakkan oleh wakil rakyat dalam membanteras kegiatan rasuah di negara ini.

Kita sedia maklum bahawa gejala rasuah dalam kalangan ahli politik di negara ini telah lama wujud dan sering kali membabitkan penggunaan kuasa serta kedudukan untuk kepentingan peribadi.

Dalam kes ini, sudah tentu pelaksanaan dan gerak kerja daripada pihak berkuasa memainkan peranan penting dalam memastikan skandal berkenaan ditangani secepat mungkin.

Rakyat perlu melihat kecekapan, akauntabiliti dan nilai integriti pihak berkuasa dalam menjalankan tugas terutamanya dalam memerangi gejala rasuah.