Kena ugut buli atau potong gaji

Iklan
Perbuatan senior membuli junior di UPNM sudah dianggap satu budaya atas alasan untuk menguji ketahanan mental dan fizikal.

SHAH ALAM - Seorang bekas penuntut Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyifatkan kegiatan membuli pegawai kadet junior ibarat kanser lama tetapi telah menjadi satu tradisi di institusi tersebut.

Beliau turut mendedahkan tentang sikap jurulatih yang menutup mata dan sekadar memerhati perbuatan pelajar senior berkenaan atas alasan ia sebagai salah satu latihan ketenteraan yang perlu dilalui untuk menguji ketahanan fizikal dan mental.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perbuatan yang pada awalnya untuk ‘mengajar’ berubah menjadi lebih ekstrem apabila tiada pengawasan daripada pihak jurulatih.

"Sebenarnya, isu buli dan ragging pegawai kadet junior ini bukan perkara baharu dan sudah berlaku dari dahulu lagi, cuma dahulu banyak kes yang disenyapkan atas sebab tertentu.

Iklan

"Pernah juga jadi satu kes yang mana pegawai kadet junior ini ada membuat salah laku. Jadi, dia diberi dua pilihan hukuman sama ada mahu ‘diajar’ oleh senior atau dimasukkan dalam rekod.

"Kebanyakan mereka lebih memilih ‘diajar’ senior kerana akan ada potongan gaji kalau salah laku tersebut direkod. Kaedah hukuman terpulang kepada senior mahu buat apa kepada junior termasuklah mencekik, memukul dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut laman web UPNM, gaji pegawai kadet pada tahun pertama pengajian sarjana muda adalah RM1,500 sebulan berserta elaun RM565.

Tambah sumber berkenaan, perkara tersebut tidak akan berkesudahan kerana apabila pegawai kadet junior telah menjadi senior, tindakan sama akan dilakukan pula kepada pelajar lain.

Katanya, dia pernah menyaksikan sendiri kejadian buli dan pukul di institusi berkenaan semasa tahun satu pengajian.

Ulasnya, lebih parah apabila mangsa dipukul beramai-ramai oleh pegawai kadet senior lebih sepuluh orang sehingga nyawa-nyawa ikan.

"Mangsa dicekik leher dengan tali dan dipukul berkumpulan sehingga terkulai tetapi tiada siapa yang berani untuk membantu dan kami hanya boleh melihat sahaja kejadian tersebut.

"Apa yang lebih menyedihkan, jurulatih juga tidak menghentikan mereka, sebaliknya hanya melihat dan menjadi penonton di tepi.

"Di sana, kalau junior baik dan tidak buat masalah pun masih akan kena (pukul dan ragging) juga kerana senior akan mencari apa sahaja alasan untuk buat. Keadaan akan bertambah teruk kalau junior ada isu peribadi dengan senior,” ujarnya.